PRESIDEN MUSA, Datuk Seri Idris Haron. - Foto RASUL AZLI SAMAD
PRESIDEN MUSA, Datuk Seri Idris Haron. - Foto RASUL AZLI SAMAD
Amir Mamat


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Idris Haron, mahu kumpulan 'parasit' dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengganggu tugas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden badan induk itu.

Beliau berkata, sikap sedemikian bukan saja boleh menjejaskan kemajuan bola sepak negara, tetapi juga menyentuh hati jutaan peminat sukan berkenaan.

Sambil meminta Tunku Ismail menarik balik hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM, Idris yang juga Ketua Menteri Melaka, berkata peminat sukan itu pasti tak dapat membayangkan jika bola sepak negara tanpa sentuhan baginda.

"Kami pemimpin di peringkat persatuan benar-benar merayu supaya Tunku Ismail menarik balik hasrat itu (meletak jawatan).

“Ingatlah kami yang selama ini menyokong kepemimpinan Tunku sejak mengambil alih tampuk FAM dan kami masih lagi memerlukan nasihat serta tunjuk ajar Tunku dalam menguruskan pasukan.

"Jangan disebabkan oleh seorang dua parasit dalam FAM yang tidak pernah menyumbang kepada kemajuan bola sepak negara, Tunku mahu melepaskan jawatan itu. Kami tahu menilai yang mana permata dan kaca," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Idris berkata, TMJ cukup sinonim dengan bola sepak negara dan jika baginda meletak jawatan maka hilanglah seri sukan itu di negara ini.

Beliau turut meminta semua persatuan bola sepak seluruh negara bangkit menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tunku Ismail sebagai Presiden FAM.

Tunku Ismail mengejutkan kancah bola sepak negara malam tadi apabila mengumumkan meletak jawatan susulan kritikan di laman media sosial sejurus ranking skuad kebangsaan menjunam ke tangga 178 dunia menerusi pengumuman yang dibuat di laman Facebook JOHOR Southern Tigers.

Berdasarkan postingnya yang bertajuk ‘Sejarah Tercipta, Sudah Tiba Masanya’ itu, peletakan jawatan baginda dibuat susulan kedudukan skuad kebangsaan yang jatuh tiga anak tangga dan menganggapnya sebagai satu kegagalan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 12:35 AM