PRESIDEN FAM, TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM. - FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
PRESIDEN FAM, TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM. - FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Syafiq

ARENA bola sepak negara, Khamis lalu bergegar apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat beliau seharusnya meletakkan jawatan selepas ranking skuad kebangsaan melakar rekod terburuk apabila jatuh ke tangga ke-178 dunia.

Sekiranya Tunku Ismail benar-benar berbuat demikian dengan menyerahkan surat peletakan jawatannya secara rasmi, sudah tentu FAM bakal berdepan tamparan besar apabila kehilangan nakhoda terbaik untuk memacu perjalanan badan induk itu. 

Sehubungan itu, Meja Sukan NSTP menyenaraikan enam sebab mengapa Tunku Ismail tidak seharusnya meletakkan jawatan:

1. Belum masa untuk angkat kaki

Tunku Ismail akan genap setahun menjadi Presiden FAM pada 25 Mac ini. Jadi, beliau masih mempunyai baki tiga tahun lagi bagi melengkapkan penggalnya. Justeru, beliau perlu meneruskan apa yang sudah dirancang khususnya terhadap fokus untuk menaikkan ranking negara. Kejatuhan ranking memang sudah dijangka susulan prestasi kurang memberangsangkan sebelum ini, namun dengan beberapa perancangan, sudah pasti akan adanya perubahan pada masa akan datang. Sukar untuk melihat perubahan dalam sekelip mata, tetapi jika beliau terus menerajui FAM dan mengekalkan perancangan, sudah pasti ada perkara positif yang dapat disaksikan.

2. Kredibiliti sudah terbukti 

Tidak sampai setahun menduduki kerusi panas FAM, ahli gabungan dan penyokong bola sepak sendiri sudah dapat saksikan beberapa penambahbaikan dalam kancah bola sepak tempatan. Meskipun ranking negara menceritakan sebaliknya, namun kita sendiri mendapat lihat liga kita menjadi bertambah baik. Terbaru menerusi peningkatan geran tahunan untuk pasukan Liga Super sebanyak RM3 juta dan RM1 juta untuk pasukan Liga Perdana. Ini membuktikan Tunku Ismail bukan seorang yang hanya pandai bercakap tetapi menunjukkan beliau mampu melaksanakan apa yang dirancang. Cuba bayangkan perubahan yang boleh kita saksikan jika Tunku Ismail kekal lebih lama sebagai Presiden FAM.

3. Masih muda dan memiliki banyak idea yang relevan untuk jangka masa panjang

Pada usia 33 tahun, beliau masih lagi dianggap muda dan mampu tampil dengan lebih banyak idea yang segar. Jadi, sudah tentu beliau masih gagah untuk terus memimpin FAM untuk tempoh dua atau tiga penggal lagi. Kita juga tidak perlu menunggu lama apabila TMJ mengambil beberapa pelan yang dilihat mustahak untuk menambahbaik saingan bola sepak tempatan. Bukan setakat menumpukan saingan utama, malah idea Tunku Ismail turut meliputi peringkat bawahan khususnya apabila membuka saingan Piala FA kepada kelab Liga Sosial serta penubuhan divisyen empat dan divisyen lima menjelang tahun 2020.

4. Memiliki jaringan bersama individu penting di seluruh dunia

Jaringan beliau menyebabkan nama Johor Darul Ta'zim (JDT) meningkat naik di mata dunia namun harus diingat, Tunku Ismail juga tidak mengabaikan skuad kebangsaan dan juga pasukan bola sepak tempatan. Kenalannya di serata dunia membolehkan FAM menghantar pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee dan pembantunya, Brad Maloney menjalani latihan di Atletico Madrid. Bukan itu sahaja, kehadiran Presiden La Liga, Javier Tebas ke Malaysia baru-baru ini dan menjalani perkongsian bersama 24 pasukan Liga Malaysia (Liga M) sudah cukup membuktikan betapa kuat jaringan yang dimiliki Tunku Ismail sekali gus akan memudahkan pelbagai perancangan membabitkan taraf antarabangsa pada masa akan datang.

5. Mempunyai hubungan baik dengan penaja 

Kepercayaan dijadikan asas oleh penaja untuk melabur dalam kancah bola sepak tempatan dan semuanya dapat dilaksanakan disebabkan penaja percaya kepada Tunku Ismail. Jika beliau membuat keputusan untuk mengangkat kaki, sudah pasti kesinambungan ini terjejas. Ada kebarangkalian penaja enggan meneruskan tajaan selepas kontrak berakhir sekali gus apa yang sedang dinikmati pasukan ketika ini bakal lesap pada masa akan datang. Malah, kemungkinan pengganti beliau gagal untuk melakukan apa yang dilakukan khususnya untuk mencari penaja yang besar.

6. Tiada calon yang layak ganti Tunku Ismail

Ini adalah persoalan paling besar jika Tunku Ismail meletak jawatan. Siapa calon yang benar-benar layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan beliau? Mungkin ada beberapa tokoh korporat yang dicanang boleh menggantikan Tunku Ismail, namun aura setiap individu itu berbeza dan jika penggantinya tidak ada pengaruh besar yang dimiliki Tunku Ismail, bersediakah kita untuk berdepan satu lagi kegagalan?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 5:13 PM