BIBI RAMJANI ILIAS KHAN
BIBI RAMJANI ILIAS KHAN
Hasbullah Ibrahim


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) merayu Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menarik balik hasrat untuk meletak jawatan kerana khidmatnya amat diperlukan bagi memperkasakan mutu sukan itu.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata persatuan dan peminat bola sepak di semua negeri masih memerlukan khidmat pemimpin yang berwibawa dan berintegriti tinggi seperti Tunku Ismail untuk menerajui FAM dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP). 

"Dalam usaha memajukan sukan bola sepak, naik turun kedudukan pasukan dalam rangking dunia adalah adat pertandingan malah kita semua perlu mempertingkatkan lagi usaha dengan menyuburkan semangat kesukanan.

"Banyak faktor yang mempengaruhi kemajuan sukan bola sepak malah KAFA mengharapkan Tunku Ismail mempertimbangkan keputusan beliau untuk meletakkan jawatan Presiden FAM, "  katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Tunku Ismail mengumumkan untuk meletak jawatan susulan kejatuhan ranking skuad kebangsaan yang menjunam tiga lagi anak tangga kepada 178.

Meskipun sebelum ini Tunku Ismail pernah menyatakan hasrat untuk berundur sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun akan datang, namun perkembangan terbaharu menerusi akaun Johor Southern Tigers memberi petanda betapa beliau serius untuk melepaskan jawatannya sebagai orang nombor satu persatuan itu.

Bibi Ramjani berkata, penambahan bantuan geran tahunan FAM sebanyak  RM3 juta untuk pasukan  Liga Super satu contoh kejayaan Tunku Ismail yang banyak membantu persatuan dan kelab bolasepak negeri.

"KAFA mohon persatuan dan peminat bola sepak  jangan meletakkan kesalahan di tangan Presiden FAM saja malah banyak faktor lain yang  mempengaruhi mutu sukan bola sepak negara yang menyebabkan kita merudum," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 2:59 PM