NASIB dua atlet badminton negara bakal diketahui minggu depan.
NASIB dua atlet badminton negara bakal diketahui minggu depan.
Helmi Talkah


PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan sesi pendengaran ke atas dua pemain profesional negara disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan, pada minggu depan.

Menurut sumber terdekat dengan BWF, badan induk itu sudah menerima laporan penuh daripada tiga ahli panel bebas yang dilantik bagi mengadili kes berkenaan dan kini di peringkat akhir sebelum mengumumkan keputusannya.

“BWF sudah menerima laporan daripada tiga panel yang mengadili sesi pendengaran kes ini dan mereka dijangka mengumumkan keputusannya selewat-lewatnya minggu depan.

“BWF juga difahamkan mahu mengumumkannya secepat mungkin kerana faham kes ini sudah menjadi perhatian orang ramai,” kata sumber itu ketika dihubungi hari ini.

Pada 26 dan 27 Februari lalu, dua pemain profesional Malaysia berada di Singapura untuk berdepan siasatan yang dijalankan oleh tiga panel bebas atas dakwaan mengatur perlawanan.

Kedua-dua pemain yang disyaki itu, berdepan enam pertuduhan mengatur perlawanan dalam enam kejohanan berbeza antara tahun 2013 hingga 2016.

Mengulas lanjut, sumber berkenaan memaklumkan kemungkinan besar keputusan tidak memihak kepada kedua-dua pemain terbabit tetapi difahamkan mereka mahu mencabar keputusan itu.

“Berdasarkan bukti yang dimiliki BWF, agak sukar untuk kedua-dua pemain terbabit terlepas daripada pertuduhan. Namun, saya difahamkan mereka sudah bersedia untuk mencabar keputusan jika tidak menyebelahi mereka.

“Dalam hal ini, mereka boleh membawa kes berkenaan ke CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) tetapi kosnya pasti tinggi,” katanya.

Walaupun BWF masih tidak mendedahkan nama kedua-dua pemain yang disyaki itu, namun kelibat bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli dan bekas pemain skuad Piala Thomas 2010, Tan Chun Seang dilihat sepanjang dua hari sesi pendengaran itu berlangsung di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 10:09 PM