Helmi Talkah


TINDAKAN Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang masih membisu berhubung keputusan sesi pendengaran membabitkan dua pemain profesional Malaysia yang disyaki terbabit kegiatan mengatur perlawanan mula memberi kesan ke atas kehidupan salah seorang pemain berkenaan.

Selepas digantung sementara oleh badan induk itu sejak Januari lalu, pemain berkenaan hilang punca pendapatan kerana tidak lagi menerima bayaran daripada pihak penaja dan kini berada dalam kesempitan bagi menampung kehidupannya.

Menurut sumber rapat kepada pemain terbabit, penaja hanya akan membuat bayaran selepas kes selesai namun itu pun jika dia didapati tidak bersalah.

“Pihak penaja hanya akan membuat pembayaran jika pemain beraksi dalam kejohanan antarabangsa tetapi disebabkan dia digantung sementara oleh BWF, penaja mempunyai hak untuk tidak membayar kerana ia sudah termaktub dalam kontrak.

“Pemain itu kini dalam situasi sukar untuk meneruskan kehidupannya apabila tidak lagi bermain badminton. Bukan saja dia tetapi keluarganya juga turut terkesan.

“Dia berharap BWF segera membuat keputusan mengenai kes ini agar dia dapat merancang mengenai masa depannya selepas ini," kata sumber berkenaan ketika dihubungi, hari ini.

Seorang lagi pemain yang turut terbabit difahamkan kini berada di Melbourne, Australia kerana melanjutkan pengajian.

Kedua-dua pemain yang didakwa menghadiri sesi pendengaran di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu berdepan pertuduhan mengatur perlawanan dalam enam kejohanan berbeza antara 2013 hingga 2016.

Walaupun BWF masih tidak mendedahkan nama kedua-duanya, namun dapat dilihat kelibat bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli dan bekas pemain skuad Piala Thomas 2010, Tan Chun Seang sepanjang dua hari sesi pendengaran berlangsung.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai berkata, badan induk itu ada menerima perkembangan terbaru kes berkenaan daripada BWF menerusi emel, Jumaat lalu yang memaklumkan tiga ahli panel yang mengadili kes terbabit memerlukan tempoh seminggu lagi sebelum tindakan lanjut diputuskan.

"Buat masa sekarang, BWF memaklumkan belum ada sebarang keputusan lagi. Menerusi perkembangan yang diberitahu oleh BWF itu, ahli panel memerlukan tempoh seminggu lagi.

"Namun, saya tidak pasti sama ada tempoh seminggu itu adalah untuk keputusan dikeluarkan atau ahli panel menyiapkan laporan mereka sebelum dihantar kepada BWF," kata Michelle.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 7:34 PM