Helmi Talkah


NASIB mungkin tidak menyebelahi dua pemain badminton profesional negara yang disyaki mengatur perlawanan.

Selepas tamat sesi pendengaran selama dua hari yang dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Singapura, semalam, tumpuan kini terarah kepada tiga ahli panel bebas yang dilantik badan induk itu.

Biarpun identiti mereka tidak didedahkan namun difahamkan, tiga panel terbabit semuanya adalah peguam dari tiga benua berbeza, Asia, Eropah dan Australia.

Menurut sumber, situasi ketika ini tidak menyebelahi kedua-dua pemain terbabit dengan BWF difahamkan berjaya mengemukakan bukti kukuh untuk panel menjatuhkan hukuman kepada mereka.

“Pertama sekali, apabila BWF sudah memutuskan untuk mengadakan sesi pendengaran dan melantik panel bebas mengadilinya, badan induk itu sebenarnya sudah ada 75 peratus bukti untuk mendakwa.

“Kedua, berdasarkan bukti yang dikemukakan dan kehadiran saksi yang memberi keterangan, situasi nampaknya tidak begitu baik untuk mereka,” kata sumber berkenaan.

Kedua-dua pemain yang disyaki terbabit berdepan enam tuduhan mengatur perlawanan dalam enam kejohanan berbeza antara 2013 hingga 2016 susulan laporan dibuat seorang pemain bukan dari Malaysia kepada BWF.

Difahamkan, empat saksi yang hadir memberi keterangan adalah tiga pemain dan seorang penyiasat sukan yang dilantik BWF bagi menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Walaupun BWF masih tidak mendedahkan nama kedua-dua pemain yang disyaki itu, namun kelibat bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli dan bekas pemain skuad Piala Thomas 2010, Tan Chun Seang dapat dilihat sepanjang dua hari sesi pendengaran berlangsung.

Usaha untuk mendapatkan komen kedua-dua pemain terbabit berhubung tujuan mereka hadir pada sesi sebutan kes berkenaan gagal apabila mereka mengelak daripada bercakap kepada media.

Mengulas lanjut, sumber berkenaan percaya BWF akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan sesi pendengaran berkenaan dalam tempoh tiga minggu sebaik menerima laporan penuh daripada panel.

“Ini adalah kes pertama yang dikendalikan BWF membabitkan isu mengatur perlawanan. Saya percaya mereka akan beri hukuman yang maksimum kerana mereka perlu tegas agar kegiatan ini tidak terus merebak,” katanya.

Berdasarkan peraturan BWF, mana-mana pemain yang didapati bersalah terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan boleh dikenakan hukuman gantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti sukan badminton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 12:56 AM