KELIBAT Zulfadli dilihat sepanjang dua hari sesi pendengaran berlangsung. -Foto fail
KELIBAT Zulfadli dilihat sepanjang dua hari sesi pendengaran berlangsung. -Foto fail
Helmi Talkah


PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) menegaskan kes membabitkan dua pemain profesional Malaysia yang disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan perlu kekal sulit sehingga keputusan rasmi diumumkan.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai, berkata BWF dalam jawapan bertulis kepada badan induk itu, minggu lalu memaklumkan ia bertujuan untuk memberi pembelaan yang adil kepada kedua-dua pemain yang dituduh.

“BWF memaklumkan selagi pemain terbabit tidak terbukti bersalah, mereka berhak mendapat proses keadilan yang sewajarnya. Justeru, BWF kekal dengan pendirian kes ini perlu kekal sulit.

“Namun, ada perbezaan pendapat antara BWF dengan BAM dalam isu ini. 

“Menerusi surat bantahan yang BAM hantar sebelum ini, kami ada mencadangkan kepada mereka untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kes ini bagi mengelak daripada timbul spekulasi yang lebih buruk selepas ia menjadi perhatian umum,” kata Michelle ketika dihubungi, hari ini.

Jawapan bertulis BWF itu adalah susulan daripada surat bantahan dihantar BAM yang meminta penjelasan terhadap keputusan badan induk dunia berkenaan tidak membenarkan wakil BAM, Jadadish Chandra mengikuti hari kedua sesi pendengaran yang berlangsung di Singapura, 27 Februari lalu.

“Mengenai Jadadish tidak dibenarkan mengikuti hari kedua sesi pendengaran, BWF memaklumkan ia adalah kuasa mutlak pengerusi panel yang dilantik. Pengerusi panel percaya komen yang dibuat Jadadish selepas tamat hari pertama sesi pendengaran kepada media sudah mendedahkan perkara yang sulit,” katanya.

Bagaimanapun, Michelle menjelaskan BWF berjanji akan menambah baik prosedur yang digunakan badan induk itu pada masa akan datang.

“BWF memaklumkan ini adalah kes pertama yang mereka kendalikan membabitkan kegiatan mengatur perlawanan tetapi berjanji akan membuat semakan semula ke atas prosedur yang mereka gunakan pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya sama ada BWF ada memaklumkan tarikh badan induk itu akan mengumumkan keputusan kes berkenaan, Michelle berkata: “Tiada maklumat mengenai perkara itu. Kami juga masih menunggu.”

Kedua-dua pemain yang didakwa itu berdepan dengan enam pertuduhan mengatur perlawanan dalam enam kejohanan berbeza antara 2013 hingga 2016 susulan laporan dibuat seorang pemain bukan dari Malaysia kepada BWF pada 2016.

Walaupun BWF masih tidak mendedahkan nama kedua-dua pemain yang disyaki, namun kelibat bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli dan bekas pemain skuad Piala Thomas 2010, Tan Chun Seang dilihat sepanjang dua hari sesi pendengaran berlangsung.

Bagaimanapun, tujuan kehadiran mereka masih belum dapat disahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 8:23 PM