Asrol Awang


SKUAD Pahang tetap menghormati Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.  

Biarpun ATM beraksi dalam saingan Liga FAM musim ini, skuad Tok Gajah yang mempamerkan prestasi mantap dalam Liga Super tetap berhati-hati.  

Ia diakui pemain tengah skuad itu, Nor Azam Azih yang percaya pelawat akan memberi saingan sengit yang memerlukan Pahang mempamerkan persembahan meyakinkan.  

Katanya, kelebihan beraksi di laman sendiri seharusnya dimanfaatkan untuk memastikan misi layak ke pusingan seterusnya tercapai.  

"Pada perlawanan itu Ahad ini, kami tidak boleh memandang rendah kemampuan ATM biarpun mereka beraksi dalam saingan Liga FAM.  

"Sebaliknya kami perlu kekal fokus untuk memastikan Pahang mara ke pusingan seterusnya dan tidak sesekali memberi sebarang ruang kepada lawan," katanya.  

Ditanya persefahaman antara rakan sepasukan di posisi tengah, Nor Azam berkata, masih wujud kelemahan biarpun ia dilihat semakin positif.  

Katanya, keserasian dengan tiga rakan iaitu Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharudin dan Chan Vathanaka perlu diperkemaskan untuk meneruskan rentak cemerlang pasukan.  

"Oleh itu, jadual perlawanan yang semakin padat memerlukan kami kekal fokus dan meningkatkan lagi prestasi untuk mempamerkan persembahan lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 2:06 PM