PEMAIN import baharu Pahang, Saddil Ramdani bakal perkuat skuad Tok Gajah musim depan. FOTO Pahang FA
PEMAIN import baharu Pahang, Saddil Ramdani bakal perkuat skuad Tok Gajah musim depan. FOTO Pahang FA
Asrol Awang

 

KUANTAN: Dua pemain import yang diuji pada aksi pramusim di Thailand baru-baru ini hampir pasti menjadi nadi utama skuad Pahang bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.  

Mereka adalah Saddil Ramdani dari Indonesia dan pemain Perancis, Herold Goulon yang masing-masing bermain di posisi tengah dan pertahanan.  

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, setakat ini semuanya dilihat positif untuk menyenaraikan dua pemain berkenaan ke dalam skuad itu.  

"Berdasarkan prestasi dipamerkan pada aksi pramusim di Bangkok, Thailand baru-baru ini, kami lihat mereka mampu memberi kekuatan di bahagian tengah dan pertahanan.  

"Namun, keputusan muktamad akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat memandangkan saingan Liga M bermula awal bulan depan," katanya.  

Pada aksi pramusim itu, skuad Tok Gajah menewaskan kelab Liga 1 Thailand, Chonburi FC 2-1, seri 0-0 dengan Army United dari Liga 2 Thailand dan tewas 1-3 kepada kelab Divisyen 1 Kemboja, Visakha FC.  

Bagi kouta lima pemain import, skuad Pahang hanya mengekalkan Safuwan Baharudin dari Singapura selepas Mohamadou Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan.  

Kini, skuad kendalian Dollah Salleh sedang mengenal pasti baki empat pemain import baharu untuk memperkuatkan jentera pasukan.  

Pada masa sama, juara Piala FA musim lalu itu sudah terlepas peluang untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi yang dikatakan memilih pasukan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 4:50 PM