AZHAR ABDULLAH
AZHAR ABDULLAH
Asrol Awang

JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Azhar Abdullah memuji komitmen tinggi dipersembahkan pemainnya biarpun tewas 1-2 kepada Pahang pada pusingan kedua Piala FA, malam tadi.

Beliau berkata, kekalahan itu tidak mematahkan semangat, sebaliknya memberi lebih motivasi kepada pemainnya untuk beraksi dengan lebih baik pada saingan Liga Malaysia, khususnya Liga FAM musim ini.

Katanya, dengan menampilkan 100 peratus anggota tentera dalam skuad kendaliannya, ia adalah persembahan positif sebagai persediaan mengharungi saingan Liga FAM.

“Saya akui pada perlawanan ini (malam tadi), kami mengamalkan corak bertahan kerana sedar dengan kemampuan pasukan dan sesekali melakukan serangan.

“Apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1, kealpaan pemain dalam menghalang tuan rumah daripada menambah jaringan, gawang pasukan dibolosi juga.

“Bagaimanapun, saya tetap berbangga dengan komitmen pemain kerana masih mampu memberi saingan kepada skuad Tok Gajah,” katanya.

Ditanya misi dalam saingan Liga FAM musim ini, Azhar berkata, pasukan itu menyasarkan penamat terbaik bersandarkan barisan pemain didaftarkan.

Katanya, sekiranya berjaya ke Liga Perdana musim depan, ia sebagai bonus buat ATM yang keseluruhannya dibarisi anggota tentera dalam membentuk pasukan musim ini.

“Saya percaya dengan pengalaman bertemu Pahang yang sememangnya diakui sebuah pasukan yang bagus, membantu meningkatkan kualiti dan corak permainan ATM.

“Apa yang perlu dilakukan adalah kekal fokus dan konsisten untuk memastikan kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 1:03 PM