JURULATIH Pahang, Dollah seru anak buah bangkit. - FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
JURULATIH Pahang, Dollah seru anak buah bangkit. - FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


DOLLAH Salleh mahu anak buahnya tidak mengulangi prestasi kurang bernafsu ketika menang tipis 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada saingan Piala FA, minggu lalu.

Jurulatih Pahang itu berkata, corak permainan yang dipersembahkan pada pusingan kedua Piala FA itu tidak akan dipamerkan pada pertemuan dengan Negeri Sembilan, malam esok.

Justeru, katanya, anak buahnya perlu bangkit dan mengembalikan prestasi terbaik seperti yang dipamerkan ketika menewaskan Selangor 3-1.

“Sebenarnya, pada pusingan ketiga Piala FA, mereka bukannya tidak bermain dengan bagus, sebaliknya rentak permainan yang dipersembahkan agak berbeza.

“Tapi saya percaya aksi kurang mantap itu tidak akan terbawa-bawa pada perlawanan Liga Super apabila melayan Negeri Sembilan di Stadium Darul Makmur, esok.

“Oleh itu, skuad Tok Gajah akan bangkit untuk memastikan tiga mata diraih dengan memberi komitmen tinggi sepanjang tempoh perlawanan,” katanya.

Pada perlawanan malam esok, Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan dijangka menurunkan kesebelasan utama termasuk Forkey Doe dan Patrick Cruz untuk merobek gawang Negeri Sembilan.

Pada masa sama, gandingan Mohamadou Sumareh, Nor Azam Azih, Chan Vathanaka dan Safuwan Baharudin di bahagian tengah diyakini dapat membantu jentera serangan.

Justeru, Dollah mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri memastikan tiga mata diraih untuk merapatkan jurang mata dengan pasukan teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 2:27 PM