KUANTAN FA seperti 'kebal' tanpa sebarang tindakan sehinggakan mereka dibenarkan untuk bertanding musim ini walaupun kes tunggakan gaji belum diselesaikan. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
KUANTAN FA seperti 'kebal' tanpa sebarang tindakan sehinggakan mereka dibenarkan untuk bertanding musim ini walaupun kes tunggakan gaji belum diselesaikan. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Aziman Rosdi


Janji tinggal janji. Itu hakikat yang terpaksa ditelan enam bekas pemain Kuantan FA yang sehingga kini masih menunggu bayaran tunggakan gaji daripada pihak pengurusan Liga Perdana itu.

 Apa yang menghairankan, walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengarahkan Kuantan FA melangsaikan segala tuntutan keseluruhan berjumlah RM145,250 pada 15 Januari lalu, namun situasi masih sama.

 Malah kelab itu seperti 'kebal' tanpa sebarang tindakan sehinggakan mereka dibenarkan untuk bertanding musim ini walaupun kes tunggakan gaji belum diselesaikan.

 Mungkin kes ini kecil kerana membabitkan pemain tidak ternama namun kean dirasai mereka terbabit cukup mendalam khususnya pemain muda yang ada daripadanya terpaksa bersara awal.

 Menurut Mohd Fiqri Mohd Abdullah, 32, dia berharap isu ini dapat diselesaikan segera selepas lebih setahun menunggu.

 "Selepas 15 Januari masih belum ada apa-apa bayaran. Saya sudah membuat aduan kepada pihak peguam PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) dan mereka memaklumkan bahawa kes itu sudah dibawa kepada FAM untuk tindakan kali kedua.

 "Saya pelik bagaimana kelab yang bermasalah ini masih lagi dibenarkan bermain dalam liga, sepatutnya FMLLP (Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) kena lebih tegas dalam soal ini.

 "Apabila ada pasukan berani melanggar peraturan ini, kesannya adalah kepada pemain. Untuk saya yang sudah agak berusia tak mengapa, tapi ramai pemain dalam pasukan 2017 Kuantan FA yang masih muda. Mereka juga ada kes gaji tertunggak, ada daripada mereka sudah berhenti main bola sepak, ada yang bekerja di kampung, membantu keluarga menjual nasi lemak pun ada," katanya ketika dihubungi, hari ini.

 Berdasarkan laporan sebelum ini, Kuantan FA antara pasukan yang masih mempunyai enam kes yang dibawa ke FIFA dan 21 kes FAM.

 Bagaimanapun difahamkan musim ini Kuantan FA di bawah pihak pengurusan baru dengan menggunakan nama Marcerra Kuantan FA namun bagi Amirullah Abd Razab,28, mereka seharusnya tidak terbabit dengan masalah bahagian pengurusan itu.

 "Sepatutnya bila sudah keluar arahan bayaran pada 15 Januari, pihak Kuantan FA kena patuh, tapi sampai sekarang tak ada bayaran. Agak kecewa dengan kelab bermasalah tapi masih dibenarkan bertanding. Ini contoh tak baik kepada pasukan lain juga, jadi pihak FAM atau FMLLP kena lah bertegas dalam hal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 6:42 PM