MOHAMAD Amirul Asraf kini terpaksa mencuci kereta bagi menampung perbelanjaan harian.
MOHAMAD Amirul Asraf kini terpaksa mencuci kereta bagi menampung perbelanjaan harian.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: “Masih samar kami dapat semula duit gaji kami.”

Itu luahan Mohamad Amirul Asraf Mohd Noor, seorang daripada 24 pemain Kuantan FA yang masih menanti tuntutan tunggakan gaji mereka diselesaikan.

Menurut penjaga gol kelab The Seagulls itu, walaupun Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan pihak pengurusan pasukan membayar kesemua tunggakan gaji berjumlah RM762,000 dalam tempoh 30 hari, dia mengakui ia mungkin tinggal harapan.

“Memang sebagai pemain mengharapkan kami mendapat semula hak kami itu, tapi nampak macam susah. Bagaimana Kuantan FA nak bayar gaji kami sedangkan hutang dengan pemain tahun lalu juga masih belum selesai,” kata Amirul.

“Sekarang bertambah sulit apabila MFL (Liga Bolasepak Malaysia) sudah gugurkan Kuantan FA daripada Liga Malaysia, macam mana mereka nak dapat sumber kewangan?”

Amirul yang menuntut tunggakan gaji sebanyak RM28,000 daripada Kuantan FA kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung keluarga selepas gagal mendapatkan kontrak dengan pasukan lain.

Dia berharap, FAM atau MFL dapat mencari jalan lain selain hanya bergantung kepada Kuantan FA untuk menyelesaikan tunggakan gaji itu.

“Saya tak tahu, mungkin FAM atau MFL juga perlu bertanggung jawab kerana mereka sudah menggugurkan Kuantan FA. Ada juga yang beritahu, mungkin Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) juga perlu bertanggung jawab kerana Kuantan FA bernaung di bawah mereka, tapi tak akan PBNP nak bayar hutang pasukan lain. Pada saya semuanya samar ketika ini,” katanya.

Sementara itu, nasib penyerang Abdul Manaf Mamat mungkin lebih baik apabila kini beraksi dengan kelab baru MOF FC dalam Liga FAM.

Namun itu tidak bermakna, dia sanggup melupakan tuntutan tunggakan gajinya sebanyak RM50,000.

“Saya tetap mahukan hak saya seperti dalam kontrak, Kuantan FA cakap mereka ada kontrak penajaan dengan Marcerra jadi mereka kena selesaikan dengan apa cara sekali pun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:19 AM