FORTUNATO (tiga dari kanan) puas hati jaring hatrik ketika menentang PDRM. -Foto fail
FORTUNATO (tiga dari kanan) puas hati jaring hatrik ketika menentang PDRM. -Foto fail
Rodly Fadly

 

JARINGAN hatrik ketika membantu FELDA United membenam PDRM 6-2 dalam perlawanan Liga Perdana semalam bukan sahaja mengubat kekecewaan Gilberto Fortunato, malah membakar semangatnya untuk terus merobek gawang lawan sepanjang musim ini.

Tiga jaringan itu jelas menebus kekecewaannya ketika gagal membolosi  pintu gol UKM FC pada perlawanan pertama Jumaat lalu yang berkesudahan The Fighters menang tipis 2-1.

Penyerang import dari Brazil itu ternyata membalas kepercayaan jurulatih B Sathianathan yang meletakkan dirinya sebagai penggempur utama selepas ketiadaan Thiago Augusto Fernandes ekoran kecederaan.

“Saya terlalu gembira kerana berjaya melakukan hatrik. Sebagai penyerang, saya sedar betapa pentingnya menjaringkan gol,” kata Gilberto. “Saya dibeli untuk menjalankan tugas ini, jadi saya gembira dapat melaksanakannya. Saya harap ia adalah permulaan kepada yang lebih baik selepas ini.

“Memang bagus jika saya dapat menjaringkan gol dalam setiap perlawanan tapi apa yang lebih penting adalah pasukan kami menang.”

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka itu, Gilberto meledak pada minit kesembilan, 43 dan 72. Tiga gol lagi dihasilkan oleh Shukor Adan (40), Syamim Yahya (50) dan Iain Ramsay (55) sambil PDRM membalas menerusi Petrioner Vionea (m-74) dan Khairul Izuan Abdullah (m-82).

“Ia bukan perlawanan yang mudah tapi kami menang besar kerana kerja keras setiap pemain. Kami bermain sebagai satu pasukan serta sentiasa fokus untuk mencapai matlamat musim ini.

“Ia baru perlawanan kedua, perjalanan kami masih jauh. Namun, memenangi kedua-dua perlawanan awal adalah tonik terbaik untuk kami. Saya yakin jika semangat ini dikekalkan, kami akan mencapai apa yang dihajatkan,” kata pemain yang menyertai FELDA dari PKNP FC itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 2:08 PM