PEMAIN Pulau Pinang (jersi kuning) melepasi kekangan pemain Kedah. FOTO/FACEBOOK KEDAH FA
PEMAIN Pulau Pinang (jersi kuning) melepasi kekangan pemain Kedah. FOTO/FACEBOOK KEDAH FA
Rudy Syareme Sheriffudin


PULAU Pinang mempamer aksi mantap tetapi tewas 1-2 di tangan Kedah pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Negeri, malam tadi.

Gol pembukaan dijaringkan penyerang Pulau Pinang, Mohd Alafi Mahmud pada minit ke-12 sebelum Kedah menyamakan kedudukan menerusi Akmal Azmi enam minit kemudian.

Pemain import pelawat, Pablo Pallares muncul wira Lang Merah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-73.

Bagi jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, kekalahan itu bagaimanapun tidak membimbangkan kerana ada faktor yang membuatkan beliau cukup gembira.

Alasannya, pemain Pulau Pinang tampil dengan aksi cukup bertenaga serta luar biasa hasil latihan intensif sejak 10 hari lalu yang berjaya meningkatkan tahap kecergasan dan keserasian.

“Saya puji semangat juang pemain yang cukup bersungguh-sungguh dan inilah corak permainan yang diinginkan dan diidamkan dalam pasukan. Mereka sudah buktikan.

“Untuk membentuk pasukan terbaik, elemen berkenaan perlu ada dan menjadi hasrat utama saya serta Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) untuk memastikan Pulau Pinang terus bangkit,” katanya.

Zainal Abidin berkata, selepas ini mereka akan mengharungi satu lagi perlawanan sebelum aksi sebenar liga bermula pada Februari.

“Kita juga mengharapkan sokongan padu peminat Harimau Kumbang seperti yang diberikan pada malam ini akan berterusan sampai bila-bila. Kita percaya kemantapan pasukan antara pengaruh utama untuk menarik lebih ramai penyokong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 9:37 AM