UGO UKAH
UGO UKAH
Rudy Syareme Sheriffudin


BEKAS pemain import Selangor Ugochukwu Ukah sah akan menyertai pasukan Pulau Pinang apabila dipilih untuk membantu barisan pertahanan dalam menghadapi saingan Liga Perdana yang bermula Februari ini.

Pengumuman pemilihan Ukah dibuat menerusi kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) selepas pemain yang berasal dari Nigeria itu memenuhi kriteria dan pilihan ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang, Zainal Abidin Hassan.

Naib Presiden FAP, Azizudin Shariff berkata, pemilihan pemain berusia 33 tahun itu dibuat berdasarkan rekod cemerlang yang dimilikinya ketika bersama-sama pasukan bola sepak Selangor sebelum ini.

Menurutnya, pengesahan sudah dibuat dan hanya menunggu masa untuk pemain yang pernah bersama Selangor selama dua musim sebelum ini hadir bagi menandatangani kontrak secara rasmi dengan FAP.

Katanya, jika tidak ada aral melintang Ukah akan hadir ke Pejabat FAP Isnin ini selepas bersetuju menerima tawaran FAP dan pihaknya amat berbesar hati dengan keputusan yang dibuat kedua-dua pihak.

“Dengan adanya Ukah bersama seorang lagi pemain import yang dikekalkan dalam pasukan Pulau Pinang, Sanna Nyassi, misi untuk mencari dua lagi pemain import masih giat dilakukan FAP ketika ini.

“Pihak FAP kini dalam perancangan untuk membawa kembali bekas pemain import Pulau Pinang, Martias Cordoba namun keputusan masih belum diketahui dan dalam pertimbangan Zainal,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ukah dijangka akan bermain di posisi pertahanan bagi mengantikan tempat Reinaldo Lobo dan Brandon McDonalds yang digugurkan kerana kecederaan selain gagal mempamerkan aksi konsisten semasa saingan Liga Super 2017.

Pemain dengan ketinggian 180 sentimeter yang dilahir dan dibesarkan di Parma, Itali itu pernah beraksi untuk kelab Inggeris, Queens Park Rangers untuk musim 2005-2006.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 6:33 PM