PEMAIN Terengganu FC II, Akanni Sunday Wasiu (kanan) cubaan menendang bola dihadapan pintu gol Pulau Pinang pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC II, Akanni Sunday Wasiu (kanan) cubaan menendang bola dihadapan pintu gol Pulau Pinang pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ghazali Kori
Faizul Azlan Razak


PENYERANG import, Akanni Sunday Wasiu menjadi penyelamat Terengganu FC II (TFC II) apabila menyumbat gol penyamaan pada minit terakhir untuk mengikat Pulau Pinang 1-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Sekalipun beraksi di atas padang licin berikutan hujan turun sebelum perlawanan bermula, namun kedua pasukan tetap menyajikan aksi bertenaga.

Tuan rumah hampir dihukum pelawat, namun sepakan Mohd Raimi Md Nor tidak tepat ke gawang selepas menyambar bola lambung kapten pasukan, Ugochukwu Ukah pada minit ke-10.

Tiga minit berselang, giliran Ismail Faruqi Ashari terlepas untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan hasil hantaran Mohammad Rahmat Makasuf.

Pada minit ke-17, peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi rembatan Muhamad Sharin Sapien tetapi ia berjaya ditepis keluar penjaga gol Pulau Pinang, Amirul Asyraf Mohd Suhaidi.

Pasukan tuan rumah terus buntu memperoleh jaringan apabila dua percubaan berturut-turut mereka terkena palang gol menerusi Wasiu dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob minit ke-21.

Bersambung babak kedua, pelawat yang dibimbing pengendali pengalaman, Zainal Abidin Hassan mencemaskan gawang tuan rumah hasil rembatan Mohd Raimi tetapi ia ditepis keluar penjaga gol TFCII, Mohd Suhaimi Husin minit ke-47.

Begitupun, Mohd Raimi yang bekas pemain Selangor berjaya memecah kebuntuan jaringan hasil hantaran pemain import, Seungjo Kang minit ke-51.

Usaha tuan rumah untuk memburu gol penyamaan dengan melakukan serangan bertali arus akhirnya berbaloi menerusi sepakan penalti Wasiu selepas dia dijatuhkan Ukah pada minit ke-90.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 12:56 AM