PEMANAH compound kembali di bawah MSN. Foto fail
PEMANAH compound kembali di bawah MSN. Foto fail
Azlan Muhammad Zain


PENANTIAN barisan pemanah compound negara mengenai perancangan untuk mereka akhirnya terjawab apabila dijangka kembali berlatih secara sepenuh masa di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), bulan depan.

Jelas pemanah wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, perkembangan berkenaan dimaklumkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) beberapa hari lalu.

“Saya sudah dimaklumkan akan ditawarkan kontrak selain berada dalam senarai untuk menyertai ke kejohanan pra Sukan Asia pada bulan depan.

“Ia sedikit sebanyak melegakan saya dan lebih mudah dalam merencanakan perancangan,” jelas pemenang emas Sukan SEA 2017 itu.

Pemanah lelaki negara, Zulfadhli Ruslan turut mengesahkan akan mempertimbangkan kontrak yang ditawarkan MSN.

Compound di Sukan Asia kembali disenaraikan Indonesia penghujung tahun lalu dengan tiga acara iaitu berpasukan lelaki, wanita dan campuran tanpa dua acara individu.

Sebagai permulaan, pemanah lelaki dan wanita compound negara akan dihantar bersama skuad recurve pada kejohanan pra Sukan Asia pada 10 hingga 16 Februari di Jakarta.

Secara keseluruhan di Sukan Asia pada Ogos nanti, lapan emas ditawarkan menerusi memanah dengan lima daripadanya adalah menerusi acara recurve.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 7:39 PM