SKUAD compound akan beraksi di Sukan Asia 2018.
SKUAD compound akan beraksi di Sukan Asia 2018.
Azlan Muhammad Zain


PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) terus mengharapkan keajaiban berterusan untuk skuad compound negara selepas kembali disenaraikan di Sukan Asia 2018.

NAAM kini mengharapkan atlet compound dapat dipertimbangkan untuk menyertai Program Podium bagi memberikan persediaan terbaik menghadapi temasya di Indonesia pada Ogos tahun depan.

“Kita menaruh harapan mereka akan dipertimbangkan menyertai program elit ini kerana compound sudah disenaraikan semula untuk Sukan Asia.

“Sekiranya dapat disenaraikan seperti pemanah recurve, ia adalah sesuatu yang bagus terutamanya dalam aspek pendedahan dan pertandingan antarabangsa,” jelas Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan

Indonesia melakukan kejutan beberapa minggu lalu apabila menyenaraikan tiga acara compound walaupun pada peringkat awal hanya recurve dipertandingkan.

Barisan pemanah compound negara yang meraih tiga emas di Sukan SEA, Ogos lalu, tidak disenaraikan dalam Program Podium 2018 selepas ia tidak dipertandingkan di Sukan Komanwel dan Asia.

Bagaimanapun perkembangan terbaru menyaksikan acara berpasukan lelaki, wanita dan campuran kembali dipertandingkan.

“Ia akan dibincangkan dalam masa terdekat bersama pihak Program Podium dengan mesyuarat bersama pada Jumaat ini tertumpu kepada merangka program untuk pemanah recurve,” jelasnya.

Lima pemanah recurve sudah diumumkan tersenarai bagi Program Podium pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 11:43 PM