FATIN bingung dengan perancangan NAAM, harap segala perancangan dapat diperjelas lebih awal. -Foto fail
FATIN bingung dengan perancangan NAAM, harap segala perancangan dapat diperjelas lebih awal. -Foto fail
Azlan Muhammad Zain


RATU memanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh mengakui masih ‘bingung’ dengan perancangan tahun depan walaupun acara compound tersenarai dalam Sukan Asia 2018.

Menurut Fatin, dia masih belum mendapat sebarang maklumat daripada Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) atau pihak lain mengenai program dan perancangan ke arah menghadapi temasya itu.

“Seboleh-bolehnya pemanah dimaklumkan secepat mungkin dengan perancangan yang dirangka agar kami dapat bersedia dari pelbagai aspek termasuk menguruskan jadual pengajian, fizikal, mental dan sebagainya.

“Tempoh yang ada bukanlah panjang, Sukan Asia akan berlangsung pada Ogos,” jelasnya.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini mengesahkan tuan rumah Indonesia memutuskan untuk menyenaraikan compound selepas peringkat awal hanya mahu mempertandingkan acara recurve pada temasya itu.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INAGSOC) hujung bulan lalu kembali menyenaraikan compound dengan tiga acara dipertandingkan sekali gus menjadikan keseluruhan lapan emas ditawarkan dalam sukan memanah termasuk dalam recurve.

Pemanah dari Sabah itu dilihat prospek terbaik negara membawa pulang pingat dari temasya itu selepas membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa.

Selain pernah memenangi emas dalam acara berpasukan pada siri Piala Dunia, dia juga cemerlang pada siri Piala Asia yang disertai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 5:48 PM