GAVIN Kyle Green.
GAVIN Kyle Green.
Farah Azharie

Kuala Lumpur: Gavin Kyle Green (gambar) dijangka terpilih mewakili pasukan Asia pada Piala EurAsia yang akan berlangsung 12-14 Januari ini di Kelab Golf dan Country Glenmarie.

Pemilihan itu dijangka dilakukan berdasarkan ranking terkini pemain itu selaku pemain nombor satu Malaysia dan juga terbaik Asia memandangkan Gavin mendahului Order of Merit Jelajah Asia.

Jika pemain berusia 23 tahun itu mengekalkan prestasinya, pengerusi jawatankuasa penganjur tempatan, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, tempat itu pasti menjadi milik Gavin.

“Dalam perjanjian antara penganjur dan EurAsia, seorang pemain perlu dari Malaysia. Apa yang jelas kini, Gavin adalah nombor satu dalam Order of Merit dan kami berharap dia kekalkan kedudukan hingga November-Disember.

“Jika dia masih di tangga pertama, dia akan disenaraikan dalam pasukan Asia.”

Pada kejohanan dwitahunan yang kali ketiga dianjurkan itu, pasukan Asia akan diketuai kapten iaitu pemenang lapan kali Jelajah Asia, Arjun Atwal dari India yang diharap dapat menebus kekalahan tahun lalu.

Pada edisi tahun lalu, Eropah menang dengan rekod membanggakan 18 1/2-5 1/2 untuk menjulang trofi buat kali pertama selepas edisi sulung pada 2014 menyaksikan keputusan seri 10-10.

“Kami (pasukan Asia) kalah tahun lalu dan saya sedikit kecewa kerana kami sudah bersedia, tapi saya berharap kali ini Arjun akan menggunakan kebolehannya dan memahami persekitaran, cuaca dan kualiti lapangan bagi melakukan keputusan terbaik,” kata Ahmad Sarji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 9:01 AM