SEAN mahu bukti kemampuan bersama Selangor.
SEAN mahu bukti kemampuan bersama Selangor.
Mohd Amin Jalil


BEKAS pemain Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj mahu membuktikan kehadirannya bersama Selangor bukan menjadi beban sebaliknya benar-benar memberi impak positif dalam membantu melakar kejayaan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Penyerang muda berusia 21 tahun itu berkata, dia mahu membuktikan keupayaan sebenar dalam membantu mempertahankan reputasi Selangor selaku pasukan yang disegani dan dihormati dalam kancah bola sepak tempatan.

Malah Sean amat menyedari betapa skuad Red Giants yang dibimbing pengendali berpengalaman P Maniam, memerlukan barisan pemain mantap dan berwibawa bagi mempertahankan rekod cemerlang mereka.

“Saya amat sedar bukan mudah untuk mendapat tempat dalam pasukan Selangor kerana pasukan ini memiliki reputasi besar berdasarkan rentetan kejayaan silam yang sudah mereka lakar.

“Bagaimanapun sebagai pemain muda, penerimaan pengurusan pasukan itu terhadap saya satu penghormatan dan peluang yang perlu saya gunakan sebaik mungkin.

“Oleh itu, saya harus bekerja keras meningkatkan prestasi dan persembahan, sesuai dengan tuntutan pengurusan pasukan yang pastinya mengidamkan kejayaan lebih baik dapat dicapai pada Liga-M musim 2018,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bakat pemain berasal dari Port Dickson itu mula dikesan tiga tahun lalu menerusi program pembangunan bola sepak belia Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

Dia antara pemain paling menonjol dalam skuad Piala Presiden Negeri Sembilan apabila dia berjaya menjaringkan lima gol sepanjang kempen musim 2016.

Malah dia turut dipanggil menyertai skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi Kelayakan B-23 Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Julai selain temasya Sukan SEA 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Menurut Sean, dia mahu menimba pengalaman bagi meningkatkan lagi tahap permainanannya apabila bersetuju menyarung jersi Selangor, walaupun PBNS mahu terus mengekalkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 5:35 PM