K Devan minat latih NS. FOTO OWEE AH CHUN
K Devan minat latih NS. FOTO OWEE AH CHUN
Mohd Amin Jalil


SEREMBAN: Bekas pengendali Negeri Sembilan, K Devan masih menaruh minat untuk melatih skuad utama negeri itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2019.

Beliau yang kini melatih skuad MIFA yang beraksi dalam Liga Perdana musim ini dan bersaing dalam kempen Piala Malaysia, mengakui tidak akan menolak jika menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

"Jika ada tawaran (PBNS) untuk melatih pasukan, sudah tentu saya akan pertimbangkannya. Saya masih berminat menabur bakti bersama Negeri Sembilan.

"Buat ketika ini, fokus diberikan kepada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia menentang JDT, Ahad ini," katanya kepada NSTP, hari ini.

Devan pernah dua kali mengendalikan skuad Hobin Jang Hobin, kali pertama bermula pada musim 2003 hingga 2006 dengan kejayaan merangkul kejuaraan Piala FA 2003 dan juara Liga Super 2005.

Namun beliau gagal mempertahankan reputasi pasukan itu pada khidmat kali kedua pada musim 2015.

Ketika ini, Negeri Sembilan yang beraksi dalam saingan Liga Super dilatih pengendali dari Portugal, Mario Lemos, yang memulakan tugas pada Mei lalu dengan pencapaian kurang baik apabila menamatkan saingan itu di tangga tercorot carta.

Skuad Rusa terlepas saingan Piala Malaysia dan sedang mengharungi kempen Piala Cabaran 2018. Mereka bakal menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Terengganu FC II (TFCII) di gelanggang lawan, 18 September ini.

Sementara itu, PBNS kini sudah bertukar wajah apabila menampilkan barisan kepemimpinan baharu diterajui Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri selaku Presiden PBNS,

Beliau memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada Kongres PBNS kali ke-86, pada 10 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 4:05 PM