Sean Eugene Selvaraj (kanan) ketika beraksi bersama Selangor
Sean Eugene Selvaraj (kanan) ketika beraksi bersama Selangor
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas empat musim bersama Selangor FC, pemain penyerang, Sean Eugene Selvaraj kembali bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak setahun bersama skuad Hobin Jang Hobin, semalam.

Dia antara tiga pemain baharu yang menganggotai skuad berkenaan selepas Mohamad Izzuddin Mohd Roslan dari Perak FC dan Syihan Hazmi dari Petaling Jaya (PJ City) FC.

Eugene berkata, dia mahu membantu mempertahankan reputasi Negeri Sembilan selaku pasukan yang disegani dan dihormati dalam kancah bola sepak tempatan kerana pernah menjulang Piala Malaysia dua kali pada 2009 dan 2011.

"Saya ingin memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan negeri saya, Negeri Sembilan dalam kancah Liga Super tahun depan dan berharap dapat tempoh permainan yang lebih lama.

"Pengalaman selama empat tahun bersama Selangor, akan saya manfaatkan untuk membantu pasukan baharu menghadapi saingan lebih mencabar di Liga Super.

"Saya ingin pastikan kehadiran di sini, dapat memberi impak positif kepada kekuatan sekali gus membantu Negeri Sembilan meraih kejayaan," katanya.

Eugene bukan asing bagi Negeri Sembilan kerana bakatnya mula digilap oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di peringkat skuad Piala Presiden sebelum diserap dalam skuad senior.

Bekas pemain skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan berasal dari Port Dickson itu yakin tidak akan menghadapi masalah untuk menerima bimbingan daripada ketua jurulatih, K Devan kerana pernah berlatih di bawah beliau pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 3:13 PM