EUGENE (kanan) mahu benar-benar memberi impak positif dalam membantu pasukan melakar kejayaan. FOTO Ihsan Selangor FC
EUGENE (kanan) mahu benar-benar memberi impak positif dalam membantu pasukan melakar kejayaan. FOTO Ihsan Selangor FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Bekas pemain Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj mahu membuktikan penampilannya bersama Selangor FC lebih menyerlah, dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Penyerang berusia 24 tahun itu berkata, walaupun berhadapan dengan situasi latihan yang mencabar berikutan ancaman pandemik Covid-19 yang belum reda, namun dia sudah bersedia untuk memulakan tugas diamanahkan dengan baik.

"Matlamat saya memastikan kehadiran bersama Selangor bagi musim baharu ini bukan menjadi suatu beban, sebaliknya benar-benar memberi impak positif dalam membantu pasukan melakar kejayaan.

"Biarpun berhadapan dengan cabaran latihan dan kekangan disebabkan Covid-19 sebelum ini hingga menyebabkan sesi latihan lengkap tertangguh, tapi setakat ini, saya sudah cukup bersedia untuk menggalas tugas yang diamanahkan pasukan.

"Malah, misi mempertahankan reputasi Selangor selaku pasukan yang disegani di pentas Liga Super, akan menjadi keutamaan saya sepanjang musim ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Eugene, walaupun skuad Red Giants musim ini dibimbing pengendali baharu dari Jerman, Karsten Nitzel, namun dia tidak menghadapi masalah untuk menerima corak strategi dan taktikal yang diketengahkan jurulatih itu.

Malahan katanya, banyak perkara baharu yang dapat dipelajari daripada jurulatih itu sekali gus dapat membantu meningkatkan lagi skil permainannya serta menambah keyakinan pada dirinya.

Dia akui perlu cepat mengikuti dan memahami percaturannya (ketua jurulatih) kerana cabaran Liga Super musim ini dijangka lebih berliku, berdasarkan persiapan setiap pasukan.

"Saya dapat rasakan kombinasi antara kami tampak lebih mantap dan ia harus memberikan impak yang lebih baik apabila cabaran sebenar bermula 6 Mac nanti.

"Apa pun, kami sedar tugas kali ini lebih mencabar, namun dengan kehadiran ketua jurulatih berpengalaman dan komitmen rakan-rakan, Selangor boleh memberikan saingan bukan sahaja dalam Liga Super, malah Piala FA dan juga Piala Malaysia, nanti.

"Dan selaku pemain di barisan hadapan, sudah pasti menjadi harapan pengurusan dan peminat. Saya akan bekerja keras untuk memberikan persembahan terbaik jika diberi peluang," kata pemain berasal dari Port Dickson itu.

Eugene antaranya pemain muda yang berjaya dilahirkan menerusi program pembangunan bola sepak belia Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

Dia juga antara pemain paling menonjol dalam skuad Piala Presiden Negeri Sembilan apabila berjaya menjaringkan lima gol sepanjang kempen musim 2016.

Malah, dia turut dipanggil menyertai skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi Kelayakan B-23 Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Julai 2017 selain beraksi di temasya Sukan SEA 2017 (KL2017).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 6:42 PM