ZHULIANG (kanan) akan digantikan dengan Yi Kan selaku ketua jurulatih skuad terjun negara. -Foto fail
ZHULIANG (kanan) akan digantikan dengan Yi Kan selaku ketua jurulatih skuad terjun negara. -Foto fail

INSTITUT Sukan Negara (ISN), hari ini mengesahkan tidak memperbaharui kontrak Yang Zhuliang sebagai ketua jurulatih skuad terjun negara di bawah Program Podium.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan, ISN bersetuju untuk melantik jurulatih Zhang Yi Kan selaku ketua jurulatih baharu.

“Zhang dan seorang jurulatih baharu yang akan dilantik bagi menguatkan struktur pasukan terjun negara dan mengadaptasi penggunaan sains sukan selaras dengan negara terbaik dalam sukan terjun di dunia,” kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Semalam, Kumpulan Sukan NSTP melaporkan Zhuliang tidak akan membimbing pasukan elit kebangsaan pada tahun depan di sebalik berjaya melahirkan juara dunia dan pemenang pingat di Sukan Olimpik.

Jurulatih berusia 53 tahun itu yang kembali dari Australia selepas berehat sebulan berkata, kontraknya tidak dibincangkan lagi.

Difahamkan, ISN mahukan pembaharuan untuk pasukan terjun negara dan bercadang meletakkan jurulatih dari China itu untuk mengetuai pembangunan.

Memetik laporan semalam, Zhuliang yang melatih skuad terjun negara sejak 2008 berkata, beliau tidak menyesal dan sedih dengan keputusan itu kerana sudah banyak kejayaan yang diraihnya bersama skuad terjun negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 2:05 PM