LATIHAN Zhuliang tidak mengambil kira penggunaan aspek sains sukan.
LATIHAN Zhuliang tidak mengambil kira penggunaan aspek sains sukan.
Jumiati Rosly dan Naqib Nor Said


TEKNIK bimbingan ‘old school’ tanpa mengambil kira penggunaan aspek sains sukan adalah punca utama mengapa kontrak ketua jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang tidak diperbaharui.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata keputusan tidak melanjutkan kontrak Zhuliang yang bakal berakhir 31 Disember itu bagaimanapun bukannya dibuat ISN secara bersendirian malah dilakukan dengan perbincangan bersama Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

“Perkara ini bukanlah baru ditimbulkan dan penilaian serta perbincangan sudah dilakukan tiga hingga empat bulan lalu lagi.

“Kita dapati teknik Zhuliang ‘old school’ dan tidak berminat dengan sains sukan yang kita ada. Jika kita mahu capai keputusan yang lebih tinggi, kita perlukan penggunaan sains sukan,” katanya di pejabatnya di sini hari ini.

Abdul Azim berkata tidak dinafikan teknik yang digunakan Zhuliang sebelum ini sudah menghasilkan pingat di Sukan Olimpik malah juara dunia namun skuad terjun negara perlu meningkatkan lagi tahap prestasi yang ada dengan penggunaan sains sukan.

“Kita sudah banyak kali menasihatkan dia (Zhuliang) untuk menggunakan sains sukan tetapi dia menganggap teknik dia adalah yang terbaik,” katanya.

Mengulas pengganti yang akan mengisi kekosongan ketua jurulatih skuad terjun negara, ISN katanya sudah mengenal pasti jurulatih luar negara berpengalaman yang akan dibawa masuk pada Januari ini.

“Dalam masa terdekat nanti kami akan umumkan selepas perjanjian ditandatangi secara rasmi kerana buat masa ini baru persetujuan lisan. Buat masa ini, penolong ketua jurulatih, Zhang Yukun akan menjadi pemangku ketua jurulatih,” katanya sambil menambah penerjun sudah maklum berkenaan keputusan itu dan bersetuju.

Ketika ditanya siapakah ketua jurulatih dari luar itu, Abdul Azim enggan memberi maklumat lanjut namun mengatakan bukanlah dari rantau Asia.

Mengenai persiapan menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast dan Sukan Asia di Indonesia pada tahun hadapan, katanya semua persiapan tidak akan menjadi masalah atau terganggu kerana segala perancangan sudah diatur dan hanya perlu diikuti biarpun tanpa Zhuliang.

Sejarah Zhuliang bersama skuad terjun negara bermula sejak tahun 2001 dan setahun kemudian dia membantu Yeoh Ken Nee dan Leong Mun Yee meraih tiga pingat gangsa di Sukan Asia Busan sebelum membantu Bryan Nickson Lomas memenangi Kejohanan Remaja Dunia di Brazil pada tahun 2004 menerusi acara 10 meter platform.

Zhuliang kemudian menerima tawaran menjadi jurulatih Australia selepas membantu Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Manila 2005, namun kembali ke Malaysia pada tahun 2008 sehinggalah kontraknya berakhir hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 9:17 PM