BUDAYA latihan  Zhuliang mewujudkan persekitaran ketakutan di kalangan penerjun.
BUDAYA latihan Zhuliang mewujudkan persekitaran ketakutan di kalangan penerjun.
Haika Khazi


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, hari ini tampil mendedahkan punca utama kontrak Yang Zhuliang sebagai ketua jurulatih skuad terjun negara tidak disambung selepas tindakan mengejut itu jelas mengundang persoalan.

Sambil mengakui tiada sesiapa yang boleh menafikan kejayaan Zhuliang sejak mengendalikan skuad negara pada 2008, Khairy berkata kontrak jurulatih dari China itu tidak disambung kerana wujud satu budaya dan persekitaran ketakutan di kalangan penerjun.

Khairy berkata, budaya dan persekitaran berkenaan mengundang kes rogol, gangguan seksual, keganasan, tindakan memukul, buli dan ugutan dalam skuad kebangsaan.

“Walaupun Zhuliang sendiri tidak terbabit dalam perkara terbabit, beliau membenarkan ia merebak tanpa kawalan walaupun selepas beberapa amaran diberi kepada beliau dan seorang lagi jurulatih yang amat rapat dengannya.

“Selepas jurulatih terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2017 mengikut Sesyen 376(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol atlet terjun negara, persekitaran dan suasana latihan pasukan terjun menjadi lebih rumit,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairy berkata, selepas timbul kes rogol membabitkan jurulatih dan atlet terjun Oktober lalu, beliau mengarahkan Datuk Marina Chin menyiasat punca kejadian itu supaya ia dapat dielakkan daripada berlaku dalam arena sukan negara.

Khairy berkata, hasil siasatan Marina mendapati wujudnya budaya toksik diselubungi ketakutan merentasi hampir keseluruhan sukan terjun ini.

“Inilah sebab utama saya memilih untuk tidak menyambung kontrak beliau.

KHAIRY lebih mengutamakan keselamatan atlet berbanding pingat emas.
KHAIRY lebih mengutamakan keselamatan atlet berbanding pingat emas.

“Tanggungjawab saya sebagai Menteri Belia dan Sukan bukan sekadar membuat dasar bagi mencapai kejayaan sukan Malaysia di peringkat tertinggi tetapi juga untuk menjaga kebajikan atlet dan melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

“Tiada mana-mana pingat emas yang nilainya lebih tinggi daripada keselamatan atlet negara. Saya juga sedar, Sukan Komanwel dan Sukan Asia hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi,” katanya.

Berikutan itu, Khairy berkata, Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sudah mengenal pasti seorang jurulatih dari Australia yang boleh membantu jurulatih sedia ada, Zhang Yukun, yang akan menjalankan tugas sebagai ketua jurulatih.

“Rombakan ini akan memastikan persiapan atlet terjun untuk kedua-dua temasya ini tidak terganggu.

Barisan baharu jurulatih ini sudah diminta untuk mengintegrasi sepenuhnya aspek sains sukan seperti latihan kekuatan, mental, analisa biomekanik dan aspek nutrisi yang tidak dimanfaatkan secara menyeluruh sebelum ini,” katanya.

Selasa lalu, Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengesahkan kontrak Zhuliang yang tamat 31 Disember ini tidak diperbaharui dengan memberi alasan teknik lapuk ‘old school’ jurulatih itu tanpa mengambil kira penggunaan aspek sains sukan menjadi punca utama kontraknya tidak disambung.

Alasan berkenaan jelas sukar diterima dan mengundang persoalan kerana teknik lapuk yang diperkatakan itu membawa skuad terjun ke puncak kejayaan bermula dengan kejayaan Pandelela Rinong memenangi gangsa di Sukan Olimpik London 2012.

Pada Sukan Olimpik Rio 2016, gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong pula memenangi perak dan kejayaan terbaru Zhuliang ialah melahirkan juara dunia apabila Jun Hoong memenangi pingat emas 10 meter platform Kejohanan Dunia 2017 di Budapest.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 5:46 PM