MUTHU (kanan) akui tindakan itu bertujuan untuk elak kejadian sama berulang. -Foto fail
MUTHU (kanan) akui tindakan itu bertujuan untuk elak kejadian sama berulang. -Foto fail
Mohd Khairie Khalid


PERSATUAN Olahraga Selangor (POS) akan membuat laporan polis terhadap penganjur Klang City International Marathon selepas penganjuran program itu tidak mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan.

Presidennya, Datuk S M Muthu berkata tindakan itu bertujuan mengelak kejadian sama berulang pada masa depan sekali gus tiada lagi mana-mana pihak menuding jari jika berlaku sebarang insiden tidak diingini.

“Kita tidak mahu mengambil tindakan keras, namun kami tidak mahu ia berlaku lagi pada masa hadapan. Jadi kami akan membuat laporan polis pada pagi Jumaat ini di Balai Polis Petaling Jaya dan akan menyerahkan segala-galanya kepada pihak berkuasa.

“Ingin ditekankan di sini kami tidak terbabit dalam penganjuran acara maraton itu,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dekat sini, hari ini.

Isu membabitkan acara maraton ini mendapat perhatian selepas tiga peserta mereka terbabit kemalangan di Jalan Kapar Batu 2, dan siasatan selepas itu mendapati larian berkenaan tidak mendapat permit penganjuran pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Semalam, Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman membuat laporan terhadap penganjur Klang City International Marathon di Balai Polis Sri Petaling.

Ia susulan arahan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu tindakan diambil selepas acara berkenaan dianjurkan tanpa kebenaran pihaknya selaku pihak mengawal selia sebarang acara penganjuran dalam negara.

Mengikut Akta Pembangunan Sukan, setiap penganjuran program sukan perlu mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Sukan dan jika gagal, ia adalah satu kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 8:07 PM