EVERTON (tiga dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters
EVERTON (tiga dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters

ABU DHABI: Gergasi Brazil, Gremio menumpaskan pasukan dari Mexico, Pachuca 1-0 menerusi jaringan Everton pada masa tambahan untuk menempah tiket final Piala Kelab Dunia.

Sayap gantian berusia 21 tahun itu menyelinap masuk dari sebelah kiri dan melepaskan rembatan padu yang menyaksikan penjaga gol Pachuca, Oscar Perez gagal berbuat apa-apa.

Pasukan dari Porto Alegre itu kini akan berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara juara bertahan Real Madrid dan Al Jazira dalam pertarungan final Sabtu ini.

“Kami agak gementar di awal permainan yang sepatutnya tidak berlaku,” kata jurulatih Gremio, Renato Portaluppi.

“Namun selepas mula menampilkan permainan sebenar kami pada separuh masa kedua lebih banyak peluang yang tercipta.

“Mungkin faktor hujung tahun turut menyebabkan kami kepenatan dan kini kami boleh menumpukan perhatian untuk aksi final.”

Gremio, yang juga pemenang Piala Intercontinental 1983 iaitu kelayakan awal ke Piala Kelab Dunia, kini menyasarkan muncul selaku pasukan pertama dari luar Eropah memenangi pertandingan ini sejak Corinthian menewaskan Chelsea pada edisi 2012. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 11:18 AM