AKSI Kumpulan E Copa Libertadores di antara Gremio dan Internacional berakhir dengan layangan lapan kad merah. FOTO REUTERS
AKSI Kumpulan E Copa Libertadores di antara Gremio dan Internacional berakhir dengan layangan lapan kad merah. FOTO REUTERS
Agensi

COPA Libertadores adalah kejohanan paling besar dalam saingan peringkat kelab di Amerika Selatan.

Aksi tegang sentiasa berlaku dalam perlawanan yang sengit terutama membabitkan kelab gergasi yang mempunyai pengaruh dari segi penyokong.

Ia tidak terkecuali dengan aksi yang membabitkan Gremio dan Internacional semalam apabila lapan kad merah dilayangkan ketika di hujung saingan.

Ketegangan berlaku ketika memasuki minit ke-88 dengan pemain kedua-dua pasukan saling tolak- menolak antara satu sama lain sehingga membabitkan campur tangan pemain simpanan.

Beberapa pemain Gremio kelihatan cuba menyepak pemain lawan, tatkala bintang Internacional pula cuba bertindak balas dengan menjatuhkan pemain Gremio.

Pergaduhan, yang membabitkan hampir semua individu di atas padang, berlarutan lebih dari seminit sebelum ia diredakan.

Malah jurulatih Gremio, Renato Portaluppi juga terbabit sebelum pemain lawan ditenangkan antara satu sama lain.

Berdasarkan laporan Republic World, dua pemain terus dilayangkan kad merah sejurus insiden berkenaan berakhir.

Pemain Gremio yang menerima kad merah ialah Pepe, Luciano da Rocha Neves, Caio Henrique Oliveira Silva dan Paulo Miranda.

Sementara itu, pemain Internacional pula membabitkan Edenilson, Moises Roberto Barbosa, Victor Cuesta dan Bruno Conceicao Praxedes dengan kesemuanya menerima kad merah ketika keluar dari terowong bilik persalinan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 2:00 AM