Reuters

ABU DHABI: Tiga puluh empat tahun selepas mengemudi kelab Brazil, Gremio merangkul kejuaraan Piala Antara Benua sebagai pemain, Renato Portaluppi (gambar) berpeluang melakukan perkara sama sebagai jurulatih.

Bagaimanapun banyak sudah berubah sejak dua gol Renato membantu Gremio menang 2-1 selepas masa tambahan ke atas Hamburg SV pada 1983.

Ketika itu, kejuaraan ditentukan menerusi perlawanan tunggal di Tokyo, ketika itu dianggap lokasi istimewa bola sepak, antara juara Eropah dan Amerika Selatan. Pasukan dari Afrika, Asia, CONCACAF dan Oceania tidak dijemput.

Perpindahan besar-besaran pemain Amerika Selatan ke Eropah belum bermula dan pertembungan itu kebiasaannya seimbang.

Kini, Piala Kelab Dunia semakin besar dengan kejohanan tujuh pasukan dianjurkan badan induk bola sepak global FIFA serta didominasi kelab Eropah.

Juara Eropah, Real Madrid yang juga juara bertahan serta pilihan utama untuk memenangi kejohanan tahun ini di Abu Dhabi, menampilkan ramai pemain bintang malah pemain simpanan mereka juga adalah pemain kebangsaan negara masing-masing.

Kejohanan itu hanya menghasilkan satu pasukan juara bukan Eropah sejak 2006 apabila Corinthians dari Brazil menundukkan Chelsea 1-0 lima tahun lalu.

Sekalipun Gremio, kelab yang mana bekas jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari mula mencipta nama, terkenal dengan permainan kasar dan fizikal, Renato berjaya menerapkan permainan hantaran yang menarik.

Pengendali berusia 55 tahun itu, lebih dikenali sebagai Renato Gaucho, seorang pemain sayap lincah dan amat diingati apabila digugurkan Brazil menjelang Piala Dunia 1986 kerana mengingkari perintah berkurung pasukan.

Gremio beraksi pada separuh akhir pertama Selasa ini apabila mereka menanti pemenang suku akhir esok antara juara Afrika, Wydad Casablanca dan juara CONCACAF, Pachuca.

Real Madrid bermain Rabu ini menentang sama ada juara Asia, Urawa Red Diamonds atau wakil tuan rumah Al Jazira.

“Saya suka menang dan itulah yang akan kami lakukan di sini,” kata Renato. “Ia satu peluang hebat buat saya untuk muncul juara dunia sebagai pemain dan jurulatih.”

Penjaga gol Gremio, Marcelo Grohe menganggap pasukannya sebagai ‘underdog’ jika bertemu Real pada final.

“Mereka pastinya pilihan utama kerana tahap dan kualiti mereka tapi anda tidak perlu membayar apa-apa untuk mengimpikan muncul juara dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 4:20 PM