INSIDEN kontroversi pada penyerahan pingat dan trofi Piala Dunia membabitkan Jenni dan Rubiales semalam. FOTO Agensi
INSIDEN kontroversi pada penyerahan pingat dan trofi Piala Dunia membabitkan Jenni dan Rubiales semalam. FOTO Agensi
AFP

Sydney: Pemain tengah Sepanyol, Jenni Hermoso mempertahankan Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol (REFF), Luis Rubiales yang dikecam kerana mencium bibirnya selepas kemenangan pasukan itu dalam Piala Dunia Wanita semalam.

Rubiales dikecam di media sosial kerana sambutannya bersama Jenni semasa majlis penyerahan pingat selepas Sepanyol menewaskan England 1-0 untuk menjulang trofi buat kali pertama.

"Saya tidak menyukainya (kecaman terhadap presiden)," kata Jenni pada strim langsung Instagram selepas perlawanan, walaupun dia ketawa ketika bercakap.

Kemudian Jenni berkata apa yang berlaku ketika itu adalah 'lebih kepada tindakan semula jadi'.

"Ia adalah gerak isyarat yang spontan kerana kegembiraan besar memenangi Piala Dunia," kata Jenni, dalam komen yang diserahkan kepada AFP.

"Presiden dan saya mempunyai hubungan yang baik, tingkah lakunya dengan kami semua adalah luar biasa dan ia adalah tanda kasih sayang dan rasa terima kasih yang semula jadi.

"Sesuatu tanda persahabatan dan rasa terima kasih tidak boleh dilupakan begitu sahaja, kami memenangi Piala Dunia dan kami tidak akan menyimpang daripada apa yang penting."

Persiapan Sepanyol ke Piala Dunia dicemari oleh kontroversi mengenai persekutuan dan hubungan jurulatih Jorge Vilda dengan pemain.

Beberapa bintang terkemuka membentuk kumpulan terdiri daripada 15 pemain memprotes pasukan kebangsaan menjelang kejohanan, walaupun ramai yang mengalah dengan pendirian mereka itu dan tiga daripadanya dimasukkan ke dalam skuad.

Rubiales adalah penyokong kuat Vilda dan RFEF dikritik kerana pendirian keras mereka terhadap 15 pemain yang membantah.

Jenni, yang bermain untuk pasukan Mexico, Pachuca, terlepas sepakan penalti dalam perlawanan itu tetapi Sepanyol bertahan untuk menang menerusi jaringan Olga Carmona pada separuh masa pertama.

"Kami bermain seperti yang kami mahu bermain dan kami memenangi Piala Dunia," kata Jenni yang penuh emosi kepada penyiar Sepanyol La 1, sambil menangis selepas perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 9:57 AM