ZIDANE (tengah) beri arahan kepada pemain semasa sesi latihan Real Madrid. -Foto EPA
ZIDANE (tengah) beri arahan kepada pemain semasa sesi latihan Real Madrid. -Foto EPA
AFP

ABU DHABI: Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane memberi amaran beliau tidak akan memandang rendah Al Jazira apabila kedua-dua kelab bertemu di separuh akhir Piala Dunia Kelab, awal pagi esok.

Al Jazira beraksi di kejohanan berkenaan selaku juara tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan melangkah ke peringkat empat terbaik dengan menyingkirkan kelab New Zealand, Auckland City 1-0 selain menewaskan juara Asia, Urawa Red Diamonds dengan keputusan sama, minggu lalu.

“Ia tidak akan menjadi sesuatu yang mudah buat kami. Jika kami berfikir sedemikian, kami salah,” kata Zidane ketika sidang media, hari ini.

Real berharap untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia Kelab yang mereka menangi di Jepun, 12 bulan lalu apabila hatrik Cristiano Ronaldo di pentas final membantu mereka menewaskan Kashima Antlers sekali gus menjulang lima kejuaraan pada tahun ini.

Namun Zidane memberi amaran dan berkata Al Jazira yang dikendalikan bekas pengurus Barcelona, Henk ten Cate: “Ini adalah permainan paling utama mereka tahun ini dan kerana itu kami perlu bersedia.”

Mengenai prospek menjulang trofi kelima tahun ini, bekas pemain Perancis itu berkata: “Saya tidak memikirkannya (ini akan menjadi tahun terbaik kelab) kerana Real Madrid adalah kelab yang besar, tetapi ia memberi motivasi kepada saya dan semua pemain.

“Kami mahu mempertahankan kejuaraan yang pasukan ini menangi tahun lalu dan kerana itu kami berada di sini.”

Skuad kendalian Zidane masih meraikan kemenangan besar 5-0 ke atas Sevilla dalam aksi La Liga, minggu lalu dengan Zidane memberi bayangan Gareth Bale dan Raphael Varane mungkin terbabit dalam perlawanan berkenaan yang berlangsung di Stadium Zayed Sports City itu.

“Pada Isnin dan hari ini, mereka berlatih dengan baik, tanpa masalah dan mengambil bahagian dalam keseluruhan sesi,” kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 12:21 PM