GUARDIOLA (kanan) puas hati dengan aksi pemain muda yang diturunkan. -Foto Reuters
GUARDIOLA (kanan) puas hati dengan aksi pemain muda yang diturunkan. -Foto Reuters
Reuters

SHAKHTAR, Ukraine: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak kecewa selepas anak buahnya tewas 1-2 kepada Shakhtar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan musim ini.

Keputusan itu turut mencemari penampilan ke-100 Guardiola sebagai pengurus dalam saingan elit Eropah itu tetapi pengendali dari Sepanyol itu tetap berpuas hati dengan persembahan dipamerkan skuad bimbingannya terutama barisan kedua yang diturunkan.

“Saya puas hati dengan prestasi Tosin (Adarabioyo), Phil (Foden) dan Brahim (Diaz) dan mereka bermain dengan baik.

“Kami hadir ke sini untuk menang, tapi kami gagal mencapai matlamat itu. Kami mencuba hingga tamat perlawanan, saya gembira dengan persembahan dipamerkan pemain,” kata Guardiola.

City sudah menjamin tempat ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan F dan dengan fokus terarah kepada pertembungan musuh setempat menentang Manchester United, Ahad ini, Guardiola merehatkan beberapa tonggak utama benteng pertahanan pasukan itu.

Dengan fokus diberikan kepada pertemuan dengan United, Guardiola enggan memikirkan mengenai City yang diletakkan sebagai pilihan menjelang undian pusingan 16 terakhir di Nyon, Switzerland, Isnin ini.

“Kini, kami mahu berehat dan kembali menjalani latihan esok bagi persiapan menghadapi perlawanan menentang Manchester United.

“Ia sering berlaku apabila undian dijalankan - mereka bercakap mengenai perkara itu tapi ia bergantung kepada prestasi pasukan pada hari perlawanan.

“Mungkin anda bagus hari ini, tapi pada Februari anda beraksi dengan teruk. Ia akan menjadi sukar, pencabar semua kuat tapi kami akan cuba melakukan yang terbaik,” kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 12:52 PM