AKANJI (kiri) meraikan jaringan pertama City bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AKANJI (kiri) meraikan jaringan pertama City bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Reuters

Manchester, England: Juara bertahan Manchester City mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 6-2 selepas menewaskan FC Copenhagen 3-1 dalam aksi kedua peringkat 16 awal pagi tadi.

City yang memulakan perlawanan dengan kelebihan dua gol melebarkan kedudukan dengan meledak kesemua jaringan pada babak pertama menerusi Manuel Akanji, Julian Alvarez dan Erling Haaland.

Akanji membuka tirai jaringan menerusi peluang pertama City selepas meledak voli hantaran sepakan sudut Alvarez pada minit kelima.

"Saya melihat bola itu datang dan cukup sempurna untuk kaki saya," kata Akanji kepada TNT.

"Saya sangat gembira dengannya. Ia sasaran kami untuk menjaringkan gol awal dan dua gol awal pada babak pertama menjadikan tugas lebih mudah buat kami. Kami berusaha melakukan yang terbaik dan berjaya dilakukan."

Alvarez menjaringkan gol kedua empat minit kemudian hasil kesilapan penjaga gol lawan Kamil Grabara. Bekas pemain Southampton Mohamed Elyounoussi merapatkan kedudukan untuk juara Denmark pada minit ke-29 tetapi penyerang berbisa City Haaland merembat gol ketiga sejurus sebelum rehat untuk jaringan ke-29nya musim ini dalam semua kejohanan.

Rico berpeluang menambah gol keempat City tetapi rembatannya terkena palang. City akan mengetahui lawan mereka di suku akhir ketika undian pada 15 Mac depan.

"Kami berasa sangat bagus ketika ini," kata Akanji. "Kami yakin mara ke peringkat seterusnya. Kami antara pasukan pilihan tapi kami perlu membuktikannya."

City mara ke suku akhir untuk kali ketujuh berturut-turut. Dengan kunjungan getir ke Liverpool dalam aksi dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris Ahad ini, Guardiola melakukan tujuh pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Manchester United 3-1 menyaksikan Kevin De Bruyne atau Phil Foden tidak diturunkan.

Haaland juga dikeluarkan pada lewat permainan bagi membolehkan pemain gantian berusia 18 tahun Jacob Wright beraksi.

"Hari ini, saya perlukan tenaga, kaki yang segar," kata Guardiola. "Saya tahu betapa letih beberapa pemain saya hari ini. Kami akan bermain Ahad ini, jadi saya perlukan kaki yang segar."

City hanya ketinggalan satu mata di belakang Liverpool dan satu mata di depan Arsenal selepas 27 perlawanan menyaksikan persaingan perebutan takhta liga yang sengit musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 7:33 AM