STERLING (kiri) jaring gol tunggal perlawanan sekali gus benam Feyenoord. -Foto AFP
STERLING (kiri) jaring gol tunggal perlawanan sekali gus benam Feyenoord. -Foto AFP
AFP

MANCHESTER (United Kingdom): Skuad kendalian Pep Guardiola, Manchester City memastikan kedudukan teratas Kumpulan F Liga Juara-Juara selepas jaringan Raheem Sterling mengesahkan kemenangan 1-0 mengatasi Feyenoord awal pagi tadi.

Dengan City sudah mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir, Guardiola membuat tujuh pertukaran terhadap kesebelasan utama dan dia perlu menanti hingga minit ke-88 sebelum pasukannya mendapat gol pendahuluan.

Jaringan Sterling, selepas gerakan satu dua bersama Ilkay Gundogan, bermakna City kini sudah menang 17 perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan, termasuk ketika menang menerusi penalti mengatasi Wolverhampton Wanderers dalam Piala Liga.

“Sudah tentu menang lebih baik daripada tidak menang,” kata Guardiola.

“Pada babak pertama, kami boleh beraksi dengan lebih baik. Tapi kadangkala ia sukar. Anda menang banyak perlawanan, anda sudah layak.

“Anda mahu menamatkan saingan di tangga pertama, tetapi anda ada lagi peluang untuk berkedudukan pertama. Kami tidak ada tekanan untuk bermain.

“Tapi itu normal. Pada penghujungnya kami menjaringkan gol menakjubkan dari Rash, hantaran baik dari Gundogan, dan kami mampu menang.”

Kekalahan Shakhtar Donetsk di Napoli bermakna City mendahului kumpulan tanpa mengira keputusan di Stadium Etihad, namun Sterling mengekalkan rekod 100 peratus pasukan itu dalam kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 10:01 AM