KAMARUDIN puji sikap tegas FMLLP.
KAMARUDIN puji sikap tegas FMLLP.
Syafiq Aznan


“NAMPAK kejam, tetapi itulah harga yang perlu kita bayar untuk menjadikan bola sepak kita lebih profesional,” kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah.

Mengulas mengenai keputusan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang menyingkirkan FELDA United ke Liga Perdana susulan gagal mendapatkan lesen, bekas pemain kebangsaan itu mengakui tindakan itu dilihat wajar demi masa depan bola sepak negara ini agar menjadi bertambah baik.

Katanya, tindakan sebegitu perlu diambil supaya ia dapat dijadikan pengajaran bagi memastikan setiap pengurusan dapat mengendalikan pasukan masing-masing secara lebih profesional, sekali gus bertepatan dengan tuntutan era bola sepak moden ketika ini.

“Saya rasa jika FMLLP terus berlembut berhubung perkara ini, mungkin pasukan lain akan menuntut layanan yang sama pada masa akan datang, jadi sampai bila kita mahu berterusan mengamalkan corak pengurusan yang sebegitu.

FOTO Hiasan. Arkib NSTP
FOTO Hiasan. Arkib NSTP

“Sekali pandang, memang masyarakat akan nampak tindakan itu kejam memandangkan FELDA United yang menamatkan saingan Liga Super musim ini di tempat ketiga terpaksa beraksi di Liga Perdana musim hadapan. Namun, itulah realitinya selepas keputusan dibuat mengikut peraturan yang diperuntukkan.

“Pengurusan FELDA United perlu meletakkan kesalahan itu pada diri mereka sendiri. Jika pasukan lain boleh buat apa yang diperlukan untuk permohonan pelesenan kelab, mengapa mereka tidak mampu melakukannya?” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, kegagalan skuad ‘The Fighters’ itu melengkapkan dokumen membabitkan penyata kewangan pasukan menyaksikan pasukan itu menerima hukuman berat apabila diturunkan pangkat beraksi ke Liga Perdana bagi saingan musim hadapan.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang menjelaskan anak buah B Sathianathan itu tidak dibenarkan untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2018 kerana gagal memperolehi lesen untuk bertanding di liga elit bola sepak negara ini.

Katanya, walaupun mereka ada mengemukakan rayuan untuk mendapatkan lesen sepanjang tempoh ditetapkan, namun FELDA United tetap gagal untuk menyerahkan dokumen yang lengkap sekali gus memaksa FMLLP mengambil keputusan sedemikian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 6:39 PM