KEVIN (kanan) akan mengadakan mesyuarat mengenai tempat Titans yang akan diisi Sarawak (jersi merah), Pulau Pinang atau pasukan daripada Liga Perdana.
KEVIN (kanan) akan mengadakan mesyuarat mengenai tempat Titans yang akan diisi Sarawak (jersi merah), Pulau Pinang atau pasukan daripada Liga Perdana.
Devinder Singh


PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah, minggu depan bagi menentukan sama ada Sarawak, Pulau Pinang atau pasukan daripada Liga Perdana berhak mengisi kekosongan yang ditinggalkan dalam saingan Liga Super 2018.

Persoalan itu timbul selepas pasukan T-Team yang dijenamakan semula kepada Terengganu FC II (TFC II) pada minggu lalu membuat keputusan untuk tidak beraksi dalam liga elit bola sepak negara itu.

Satu lagi kekosongan pula untuk mengisi tempat yang mungkin ditinggalkan FELDA United yang tidak memperoleh lesen Liga Super daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tersingkir ke saingan Liga Perdana.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, ada beberapa pilihan yang menjadi pertimbangan badan pengelola itu dalam memutuskan 12 pasukan yang akan beraksi dalam kancah Liga Super 2018.

“Lembaga FMLLP akan bermesyuarat minggu depan untuk melengkapkan status pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana,” kata Kevin hari ini.

“Satu perkara yang boleh dijamin akan ada 24 pasukan dalam Liga Malaysia termasuk 12 dalam Liga Super. Lembaga mungkin memilih untuk tidak menyingkirkan satu daripada dua pasukan tercorot Liga Super untuk menggantikan T-Team atau menaikkan pangkat pasukan lain dari Liga Perdana.”

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan FELDA tidak akan dibenarkan bermain di saingan elit bola sepak negara berikutan tiada lesen.

Justeru, dua tempat kosong perlu diisi dalam Liga Super yang menyaksikan Sarawak dan Pulau Pinang mungkin diberikan peluang kedua selepas menamatkan saingan pada musim 2017 di tangga ke-11 dan 12.

Begitupun, keputusan Sarawak untuk tidak menggunakan pemain import pada musim depan mungkin menyebabkan mereka tidak berupaya untuk kompetitif seperti pasukan lain.

Jadi, bagi mengekalkan tahap kompetitif kejohanan, FMLLP mungkin tidak akan menyenaraikan Sarawak dan memberi tawaran kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) yang menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga.

Kevin juga menambah FAM sudah menamakan Felcra untuk mengambil tempat juara Piala FAM dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Sime Darby menolak untuk beraksi di saingan Liga Perdana musim depan sekali gus meninggalkan Felcra yang ditewaskan di separuh akhir Piala FAM oleh pasukan itu, peluang beraksi di saingan kedua Liga Malaysia berkenaan.

“FAM sudah mencadangkan Felcra untuk mengambil tempat Sime Darby dalam Liga Perdana dan kami sedang menunggu pengesahan daripada Felcra,” kata Kevin. “Saya fikir perkara ini hanya menunggu untuk disahkan saja.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 9:04 PM