PKNP FC teruja beraksi di liga elit negara. -Foto fail
PKNP FC teruja beraksi di liga elit negara. -Foto fail
Ajitpal Singh


PKNP FC dan Negeri Sembilan mungkin berpeluang beraksi dalam kancah Liga Super musim depan apabila Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) membuat keputusan mengenai nasib pasukan seperti Terengganu FC (TFC) II yang dahulunya dikenali sebagai T-Team dan FELDA United, esok.

Terengganu FA (TFA) memohon kepada FMLLP minggu lalu untuk penstrukturan semula TFC II dengan menjadikan kelab berkenaan sebagai pasukan ‘feeder’ negeri itu manakala FELDA masih belum diberikan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga Super.

Difahamkan FMLLP sudah memberitahu PKNP dan Negeri Sembilan yang masing-masing menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat Liga Perdana musim lalu, mengenai peluang mereka untuk beraksi dalam kancah Liga Super musim depan.

Sarawak dan Pulau Pinang yang tersingkir selepas menduduki tempat ke-11 dan 12 dalam saingan Liga Super musim lalu, tidak dipertimbangkan untuk kekal dalam liga elit itu.

Pasukan Borneo itu tidak diberikan lesen manakala FMLLP tidak menimbangkan Pulau Pinang kerana prestasi buruk mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam berkata: “Jika rayuan Terengganu untuk menjadikan TFCII sebagai kelab `feeder’ berjaya, bermakna mereka akan diturunkan ke Liga Perdana.

“FELDA pula gagal untuk memenuhi tempoh tarikh ditetapkan untuk mendapatkan lesen. Tapi, mereka memenuhi syarat lain.

“Kami akan mengeluarkan surat pekeliling mengenai perkara ini esok,” katanya.

NEGERI Sembilan tamatkan saingan di tempat keempat Liga Perdana musim lepas. -Foto fail
NEGERI Sembilan tamatkan saingan di tempat keempat Liga Perdana musim lepas. -Foto fail

Kevin berkata, FMLLP mungkin memberikan FELDA lesen sementara untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan tetapi masih bergantung kepada kelulusan ahli lembaga.

Beliau turut mengesahkan yang PKNP dan Negeri Sembilan agak gembira kerana berpeluang untuk beraksi dalam saingan liga elit Malaysia musim depan.

“Mereka memenuhi syarat diperlukan. Jika FELDA kekal manakala TFCII diturunkan ke Liga Perdana, kami perlu mempunyai formula terbaik untuk menentukan pasukan pengganti.

“Justeru, PKNP mungkin dinaikkan pangkat kerana menamatkan cabaran musim lalu di tempat ketiga Liga Perdana atau mungkin mereka perlu bermain playoff dengan Negeri Sembilan untuk slot itu.

“Tapi yang pasti, akan ada 24 pasukan beraksi dalam saingan Liga-M, termasuk 12 dalam Liga Super,” kata Kevin.

Menurutnya, FELCRA juga sudah bersetuju untuk menggantikan Sime Darby dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Sementara itu, FMLLP yang juga rakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat keputusan mengenai hak penyiaran Liga-M dalam tempoh dua minggu lagi.

Difahamkan, Telekom Malaysia (TM), Media Prima dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara mereka yang membuat bidaan untuk hak penyiaran itu manakala Fox Sports tidak lagi bersaing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 11:50 PM