ABU Bakar berharap FMLLP beri peluang kepada PKNP untuk beraksi di Liga Super berdasarkan merit.
ABU Bakar berharap FMLLP beri peluang kepada PKNP untuk beraksi di Liga Super berdasarkan merit.
Azizan Hashim


PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC sedia menyahut cabaran beraksi dalam kancah Liga Super 2018 jika diberi peluang.

Jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim berkata, kelabnya tidak akan melepaskan tawaran yang dibaratkan sebagai ‘pucuk dicita ulam mendatang’ itu.

“Jurulatih dan pemain mana yang tidak mahu beraksi dalam Liga Super?” katanya.

Malah, Bakar berkata, berdasarkan merit PKNP FC layak untuk beraksi dalam liga elit negara itu selepas membuktikan kemampuan dalam Liga Perdana 2017.

Pasukan konglomerat itu yang menduduki tempat ketiga hanya dipisahkan satu mata dengan juara dan naib juara, Kuala Lunpur serta Terengganu.

Ura-ura PKNP FC akan bermain dalam Liga Super tahun depan muncul apabila Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bakal membuat keputusan mengenai nasib pasukan seperti Terengganu FC (TFC) II yang dulunya dikenali sebagai T-Team dan FELDA United, hari ini. Turut berpeluang dinaikkan ialah Negeri Sembilan.

Kekosongan berlaku dalam saingan Liga Super 2018 kerana Terengganu FA (TFA) memohon kepada FMLLP minggu lalu untuk penstrukturan semula TFC II dengan menjadikan kelab berkenaan sebagai pasukan sokongan negeri itu manakala FELDA United masih belum diberikan lesen untuk beraksi dalam saingan utama negara.

Difahamkan, FMLLP sudah memberitahu PKNP dan Negeri Sembilan mengenai peluang mereka untuk beraksi dalam kancah Liga Super musim depan.

PEMAIN PKNP sedia sahut cabaran beraksi Liga Super jika diberi peluang.
PEMAIN PKNP sedia sahut cabaran beraksi Liga Super jika diberi peluang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 3:47 PM