WAN Azraie (dua dari kiri) tekad perkuat Terengganu. FOTO/FAIL
WAN Azraie (dua dari kiri) tekad perkuat Terengganu. FOTO/FAIL
Asrol Awang


PENJAGA gol berpengalaman, Wan Azraie Wan Teh bertekad untuk menebus kekecewaan ketika menyarung jersi Terengganu pada 2013 apabila kembali untuk membantu skuad itu menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Beraksi dengan negeri kelahiran, Wan Azraei yang belum pernah mengecap sebarang kejuaraan mengharapkan keputusan positif dapat diraih bersama skuad Penyu.

Katanya, segalanya diharap sempurna kerana misi peribadi untuk mengucup piala musim ini bersama Pahang tidak kesampaian.

“Oleh itu saya harap kembalinya saya bersama Terengganu yang juga negeri kelahiran dapat dicapai biarpun bakal mengharungi cabaran getir musim depan.

“Saya percaya dengan rezeki dan tiada yang mustahil untuk direalisasikan ketika Terengganu lebih bersedia dan mantap untuk menghadapi saingan liga sepanjang musim 2018.

“Kemasukan pemain berpengalaman termasuk import juga diyakini memperkasakan Terengganu untuk mencipta kejayaan selepas kembali bersaing dalam Liga Super musim depan,” katanya.

Musim ini, Wan Azraei yang kembali bersama Pahang sekadar membantu skuad Tok Gajah muncul naib juara Piala FA, menduduki tangga kedua Liga Super dan layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Kepercayaan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyenaraikan Wan Azraei diharap kembali mengukuhkan benteng terakhir skuad Penyu.

Justeru, pemain berusia 31 tahun itu mengharapkan kejayaan manis mampu dikecapi dengan percaturan dan pengalaman yang dimiliki ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

“Saya percaya rakan sepasukan akan mengembalikan prestasi sebenar Terengganu,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 2:50 PM