Asrol Awang


WAN Azraie Wan Teh selaku penjaga gol utama Pahang musim ini mengesahkan kembali menyarung jersi Terengganu musim depan.

Kali pertama pemain berusia 31 tahun itu bersama skuad Penyu pada 2013 sebelum mengikat kontrak dengan T-Team dari 2014 hingga 2016.

Wan Azraie, berkata kepulangannya bersama Terengganu diharap mampu mengubati kehampaan apabila gagal membantu skuad Tok Gajah meraih kejuaraan musim ini.

Katanya, tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak harus dilepaskan memandangkan kontraknya bersama Pahang hanya berbaki semusim.

“Tiada kata putus daripada Pahang sama ada ditawarkan lanjutan kontrak dan pada masa sama tawaran Terengganu dalam memperkasakan skuad itu musim depan tidak harus dilepaskan,” kata pemain kelahiran Kuala Terengganu itu.

Wan Azraei yang belum pernah mendakap sebarang kejuaraan sepanjang kerjayanya mengharapkan Terengganu yang kembali beraksi dalam Liga Super musim depan akan lebih menyerlah sekali gus memenuhi impiannya menjulang piala sebelum menamatkan kerjaya sebagai pemain.

“Saya percaya barisan pemain musim depan akan lebih bertenaga terutama dengan pengalaman luas yang dimiliki jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim).

“Soal perebutan selaku penjaga gol utama, saya harap prestasi terbaik dapat dipersembahkan seperti yang dipamerkan sepanjang bersama Pahang musim ini.

“Bagi saya persaingan akan lebih sengit untuk merebut tempat selaku penjaga gol tetapi sebagai pemain saya akan memberikan yang terbaik buat Terengganu,” katanya.

Musim ini, Wan Azraei membantu Pahang muncul naib juara Piala FA, menduduki tempat kedua Liga Super dan sekadar layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 3:03 PM