SYED Nasrulhaq idam beraksi bersama pasukan. -FOTO TFC
SYED Nasrulhaq idam beraksi bersama pasukan. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Nama penjaga gol muda Terengganu FC (TFC), Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin bukanlah asing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kerana dia pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) musim lalu.

Bagaimanapun setakat kini, pemain kelahiran Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus itu belum lagi merasai nikmat beraksi bersama pasukannya selepas 11 perlawanan liga termasuk Piala FA.

Namun pemain berusia 24 tahun itu yang beraksi cemerlang bersama pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II) musim lalu percaya, masanya akan tiba buatnya disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Penyu selepas ini.

Katanya, dia tidak akan putus asa sebaliknya akan terus bersaing secara sihat untuk mengintai peluang mengawal pintu gol skuad Penyu.

Kini pemain tinggi lampai itu dibayangi penjaga gol kebangsaan, Muhammad Rahadiazli Rahalim selain penjaga gol berpengalaman, Mohd Suhaimi Hussin yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Penyu itu.

"Setakat ini saya belum lagi diturunkan dalam pasukan selepas 'dinaikkan pangkat' daripada pasukan Terengganu FC II (TFC II) musim lalu.

"Bagi saya ini adalah proses biasa, apa yang penting saya akan terus memberikan komitmen yang tinggi selain perlu mempertingkatkan lagi corak permainan daripada semasa ke semasa," ujar pemain itu yang pernah beraksi di pentas antarabangsa.

Selain tiga penjaga gol itu, skuad Penyu menyenaraikan seorang lagi bekas penjaga gol TFC II iaitu Shafawi Mohamad yang tidak kurang hebatnya selepas membantu skuad The Turtles itu menamatkan saingan Liga Perdana di tangga keempat musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 12:03 PM