DALI mahu KAFA ikat pemain muda berbakat, elak disambar pasukan lain. -Foto fail
DALI mahu KAFA ikat pemain muda berbakat, elak disambar pasukan lain. -Foto fail
Attirmidzie Rahman


BEKAS pemain Kelantan, Dali Omar berharap pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuat keputusan tepat dalam mengekalkan bakat muda The Red Warriors untuk terus beraksi dengan pasukan itu musim depan.

Ia berikutan ada ura-ura beberapa nama pemain muda berbakat yang akan tamat kontrak dengan pasukan itu musim ini termasuk penjaga gol Ahmad Syihan Azmi Mohamed, pertahanan Mohd Faris Shah Rosli, penyerang Fakhrul Zaman Abdullah Zawawi dan pertahanan Mohammad Qayyum Marjoni Sabil sedang dipancing untuk beraksi dengan pasukan lain musim depan.

Dali berkata, pemain muda perlu diberi keutamaan untuk memperkuatkan lagi jentera pasukan bagi menempuh setiap perlawanan pada musim akan datang.

“Oleh itu, satu kerugian kalau ada pemain muda berbakat dalam pasukan tapi melepaskan mereka untuk beraksi ke pasukan lain... mereka ini aset pasukan.

“Selain memiliki pemain berpengalaman, pasukan memerlukan sandaran tenaga muda yang boleh beraksi sepenuhnya dalam perlawanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Dali yang pernah beraksi bersama kelab di Australia, Azzuri FC ketika eranya berkata, jika memiliki ramai pemain muda berbakat dalam pasukan ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada pemain import.

Katanya, pemain import yang beraksi dalam pasukan terutamanya yang baru ditandatangani akan mengalami kesulitan dalam penampilan mereka di peringkat awal.

“Ini menjadi kebiasaan bagi mana-mana pemain import...mencari keserasian cabaran buat mereka jadi bagi permulaan musim pengurusan pasukan perlu mencari inisiatif lain untuk peringkat awal musim supaya tidak terlalu bergantung terhadap pemain luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 8:59 PM