Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: “Dalam bola sepak, jika bermain seperti seberkas penyapu lidi (semua pemain bersatu menjadi satu), kita mampu menjulang Piala FA semula.

“Namun, jika bermain seperti si luncai yang terjun dengan labunya, maka kita akan pulang dengan penuh penyesalan,” kata Dali Omar.

Legenda bola sepak Kelantan itu berusia 69 tahun itu berkata pemain The Red Warriors (TRW) perlu sentiasa bersatu bagi membentuk unit yang kuat dan beraksi sebagai satu pasukan bagi memudahkan mereka menumbangkan LionsXII.

Katanya, pemain tidak boleh terlalu yakin sehingga memandang rendah keupayaan lawan kerana pasukan negara jiran itu berkemungkinan besar tampil dengan kejutan.

Beliau yang mewakili Kelantan pada 1962 dan juga pemain pertama Malaysia beraksi di luar negara turut mahukan kesebelasan utama kekalkan rentak permainan bermutu seperti ketika menjulang piala itu dua tahun berturut-turut.

“Apa yang saya nampak pemain sedia ada mempamerkan corak permainan Kelantan sebenar dengan tidak mudah menyerah kalah, tangkas menyerang dan bermain untuk menjadi juara.

“Ini semangat Kelantan dari dulu lagi dan jika dikekalkan terus, tidak mustahil Piala FA akan kembali dalam genggaman.

“Mengikut pengamatan saya, beberapa pemain muda seperti Wan Zaharul Nizam Zakaria, Wan Zack Haikal dan Khairul Izuan Rosli mampu menyengat jika diberi peluang beraksi.

“Selain itu saya lihat pemain import yang ada juga mempunyai persefahaman dan keserasian, sekali gus menyerlahkan kualiti permainan Kelantan,” katanya semalam.

Pernah bermain dengan Kelab Azzuri di Australia (sekarang dikenali Perth Glory), Dali juga menjangkakan penyerang import Iwuji Austin Amutu akan membuat kejutan luar biasa dalam perlawanan malam esok.

Katanya, Amutu dari Nigeria yang baru berusia 22 tahun bijak merencana ruang diberikan dan boleh dijadikan sandaran Kelantan menambah gol kemenangan.

Cuma gandingan Erwin Carillo dan Gilmar Dos Santos perlu dimantapkan lagi kerana keserasian mereka belum jelas selain meletakkan Jonathan McKain di posisi tengah bagi menyokong Mohd Badhri Radzi.

“Saya kira jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah mempunyai perancangan khusus untuk anak buahnya. Beliau lebih berpengalaman terhadap kelebihan dan kelemahan pemain.

“Apapun, saya berharap Kelantan mampu menjinakkan LionsXII. Saya ramal Kelantan menang 4-1,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 8:22 AM