JONGHYUN (dua dari kiri) ketika beraksi bersama THT pada 2020.
JONGHYUN (dua dari kiri) ketika beraksi bersama THT pada 2020.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tonggak Pasukan Hoki Terengganu (THT), Fitri Saari akui kehadiran pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun bakal memberi impak yang besar buat pasukannya dalam mengharungi kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Malah bekas 'arkitek' skuad kebangsaan berusia 29 tahun itu turut percaya sentuhan bekas pemain import THT, Seo Jongho yang kini bergelar ketua jurulatih skuad The Turtles juga mampu melonjakkan lagi prestasi skuad Pantai Timur itu musim ini.

"Sasaran kami pada musim ini untuk merangkul tiga trofi iaitu mengekalkan Piala Sumbangsih dan Piala Liga serta memburu Piala TNB yang terlepas pada musim lalu kepada pasukan TNB.

"Kami berkeyakinan kehadiran pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan itu yang beraksi cemerlang dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 di India baru-baru ini serta dua lagi rakan senegaranya iaitu Choi Hoil dan Yoo Seung Ho bakal menambah lagi kekuatan pasukan.

"Hal ini kerana kini kami mempunyai dua pakar pukulan sudut penalti dalam pasukan termasuk abang saya, Faizal yang pastinya mampu meningkatkan lagi motivasi kami untuk berjuang dalam saingan pada musim ini," katanya ketika dihubungi.

Musim lalu THT yang dibimbing Roslan Jamaluddin tanpa pemain import, namun diperkuatkan dua bekas kapten negara, Mohd Sukri Abdul Mutalib dan Muhammad Marhan Mohd Jalil yang masih setia bersama pasukan itu musim ini.

"Kehadiran kembali jurulatih, Jongho dilihat mampu memberi impak positif dan melonjak lagi pasukan kerana beliau sudah 'masak' dengan pasukan kerana pernah menjadi pemain import THT pada 2015 serta penolong jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah pada 2019.

"Kita meletakkan impian tinggi mampu merangkul gelaran 'treble' pada musim ini lebih-lebih empat tonggak skuad kebangsaan yang beraksi dalam saingan Piala Dunia iaitu penjaga gol, Muhamad Hafizuddin Othman, Shello Silverius selain Faizal dan Marhan bersama pasukan," katanya.

Musim ini, THT turut diperkuatkan pemain muda berbakat iaitu Mohamad Akhimullah Anuar Essok, Abdul Khalid Hamirin, Muhammad Firdaus Omar, Muhammad Alif Izham Abdullah, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee dan Luqmanul Hakim Ahmad Shukran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 10:06 PM