PEMAIN JDT menjalani latihan persiapan menentang Kedah di final Piala Malaysia. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
PEMAIN JDT menjalani latihan persiapan menentang Kedah di final Piala Malaysia. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Aziman Rosdi dan Rizar Mohd Noor


JURULATIH Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Ulisses Morais percaya anak buahnya tidak berdepan sebarang tekanan, malah akan mempamerkan kemampuan sebenar berdepan Kedah pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengendali dari Portugal berusia 57 tahun itu berkata, semua pemainnya bebas daripada kecederaan selepas mengharungi perlawanan terakhir Liga Super, Sabtu lalu ketika seri 0-0 menentang Kedah.

“Kami tidak mahu pemain terlalu tertekan untuk mengelakkan daripada kecederaan, tambahan pula kami sudah menjuarai Liga Super.

“Kami berdepan dengan pasukan yang tidak menurunkan kesebelasan utama mereka. Jadi, kami menggilirkan pemain kami untuk memberi peluang kepada beberapa pemain lain.

“Ini bertujuan untuk tidak membiarkan semua pemain kami berasa terlampau selesa untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Morais tidak menurunkan beberapa tonggak dalam kesebelasan utama di Alor Setar itu termasuk kapten, Safiq Rahim serta pemain import, Mohammad Ghaddar dan Gonzalo Cabrera kerana mahu memberi fokus pada aksi final Piala Malaysia.

Menurut bekas jurulatih kelab Portugal S.C Beira-Mar itu, pemainnya sudah bersedia untuk mempamerkan taring sebenar di pentas final untuk merampas kejuaraan daripada Kedah.

“Pada perlawanan itu nanti, saya tahu perwatakan sebenar yang pemain saya akan bawa dan kami akan bermain dengan kesungguhan yang tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 9:35 PM