MORAIS (tengah) bangga dengan barisan pemain Johor DT.  FOTO/MUHD ASYRAF SAWAL
MORAIS (tengah) bangga dengan barisan pemain Johor DT. FOTO/MUHD ASYRAF SAWAL
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor


PRESTASI cemerlang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) membuktikan masalah kurang fasih berbahasa Inggeris yang dihadapi jurulatihnya, Ulisses Morais bukan penghalang untuk membawa kejayaan kepada skuad itu.

Morais yang mengambil alih tugas sebagai jurulatih Johor DT daripada Benjamin Mora sejak Jun lalu tampak berjaya membawa Johor DT dengan persembahan konsisten hingga hujung musim ini.

Lebih manis, jurulatih kelahiran Portugal itu juga berjaya memacu Johor DT mempertahankan kejuaraan Liga Super bagi musim keempat berturut-turut selain mara ke final Piala Malaysia.

Sambil mengakui kelemahannya dalam berbahasa Inggeris, dia menghamburkan pujian kepada barisan pemain Johor DT yang dilihat memahami apa yang dimahukan.

“Maafkan saya dengan (tahap pertuturan) bahasa Inggeris saya, saya tidak dapat bercakap dengan baik, tapi pemain memahami (arahan) saya selain dibantu Rui Rodridgues (penolong jurulatih).

“Apapun, ia bukan masalah dan buktinya kami juara dalam Liga Super, dan sekarang ini layak ke final Piala Malaysia. Semua pemain sangat bagus dan mereka menjalankan tugas dengan baik,” katanya Morais.

Selain bertindak sebagai penolong jurulatih, Rodridgues juga berperanan sebagai penterjemah kepada Morais setiap kali sidang media.

Selain menghadiahkan kejuaraan Liga Super keempat, Morais juga kini berpeluang menjadi jurulatih pertama menjuarai Piala Malaysia buat Johor DT sekiranya berjaya mengatasi Kedah pada final, 4 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 10:14 PM