VIVIAN (kiri) tekad beri saingan sengit di Terbuka Hong Kong. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
VIVIAN (kiri) tekad beri saingan sengit di Terbuka Hong Kong. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tidak ada perkara lain yang bermain di fikiran pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo kecuali mencari jalan bagaimana melemahkan sistem pertahanan bakal digunakan gandingan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva menjelang pertemuan pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong, hari ini.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, selain bertahan dengan mantap, mereka juga harus berhati-hati dengan kekuatan pukulan yang dimiliki gandingan adik-beradik dari Bulgaria itu.

“Esok sudah pasti kami berdepan halangan sukar dari mereka. Kami pernah tumpas dengan mereka sebelum ini.

“Jika berjaya mencatat kemenangan sekali pun, menanti kami di pusingan kedua berkemungkinan lawan yang menumpaskan kami di pusingan kedua dari Jepun, Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, mereka sentiasa memperoleh undian sukar seperti biasa tapi berjanji memberikan aksi terbaik sepanjang minggu ini.

Vivian-Khe Wei sebelum ini pernah tumpas kepada Gabriela-Stefani, di pusingan kedua Terbuka Denmark tahun lalu 13-21, 19-21 dalam pertemuan sulung mereka.

Dan esok adalah medan terbaik untuk menebus kekalahan berkenaan sekali gus menempah slot ke pusingan kedua.

Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei akan berdepan pemain dari China, Tian Houwei di pusingan pertama esok.

Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Teo Ee Yi pula berdepan halangan sukar apabila berdepan pilihan utama dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, manakala Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong menentang Lee Jhe Huei-Lee Yang dari Taiwan.

Dalam aksi pusingan kelayakan perseorangan lelaki hari ini, bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Liew Daren tumpas kepada Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong 14-21, 16-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 7:28 AM